Aceh Singkil - Pihak berkuasa Aceh semalam mula merobohkan beberapa gereja kecil selepas tercetusnya rusuhan antara agama susulan desakan kumpulan Islam yang mendakwa rumah ibadah itu dibina tanpa kebenaran.
Ketegangan masih dirasai di daerah ini selepas kejadian sekumpulan perusuh membakar sebuah gereja dan pergaduhan yang menyebabkan seorang maut pada minggu lalu.
Anggota polis dan tentera dihantar ke kawasan itu untuk mengawal keadaan serta membolehkan ribuan penduduk beragama Kristian yang melarikan diri kembali ke kediaman masing-masing.
Polis menggunakan tukul besi dan kapak untuk merobohkan beberapa gereja yang dibina menggunakan kayu sambil disaksikan penduduk beragama Kristian, ada di antara mereka menitiskan air mata.
“Bersetuju atau tidak, kami tetap meneruskan operasi merobohkan ini,” kata penjaga sebuah gereja yang dirobohkan, Paima Brutu.
Katanya, gereja itu mempunyai 100 pengikut.
“Sudah beberapa kali kami memohon permit untuk bangunan ini,” jelasnya.
Keputusan itu dibuat selepas satu pertemuan kelmarin yang disertai pemimpin politik dan agama tempatan, termasuk Kristian yang bersetuju untuk menutup rumah ibadah berkenaan.
Penduduk Islam termasuk kumpulan Barisan Pelindung Islam menuntut 10 gereja di daerah itu ditutup.
“Sebelum ini, penduduk di sini tinggal dengan aman dan tiada tekanan untuk menutup gereja ini,” kata ketua kampung Siompin, Genti Brutu selepas tiga gereja di kawasan itu ditutup. -Reuters