Salam Dengan Musuh Islam, Nasruddin Hukum Mohd Najib "Pengkhianat Agama"

Nasrudin Hassan Tantawi
KUALA LUMPUR – Hanya kerana berjabat tangan secara tidak formal apabila terserempak dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, maka seseorang itu sudah dianggap sebagai pengkhianat agama Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan dalam reaksinya terhadap insiden bersalaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Netanyahu baru-baru ini di Milan, menganggap tindakan itu sebagai satu kesalahan.

“Tindakan Perdana Menteri kita berjabat tangan dengan Perdana Menteri Israel merupakan satu insiden pengkhianatan terhadap umat Islam,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ekoran anggapan tersebut, Nasrudin turut menuntut Perdana Menteri memberi penjelasan rasmi di Parlimen berhubung perkara itu dalam sidang akan datang.

Permintaan itu juga menjelaskan bahawa Nasrudin enggan menerima sebarang penjelasan Najib berhubung insiden berkenaan, sebaliknya menjadikan ia sebagai salah satu bahan politiknya untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri di mata umum.

“Jadi dia salam dengan saya, saya salam dengan dialah. Bukan ada apa-apa, bukan pertemuan. Terserempak secara kebetulan sahaja. Ini boleh disahkan oleh Menteri Luar dan wakil duta di Amerika Syarikat dan Wakil Tetap Malaysia di PBB,” jelas Najib. 

Akhlak Rasulullah SAW di dalam pergaulan memperlihatkan baginda sangat mengasihi sesama umatnya dan bertindak adil terhadap golongan bukan Islam.

Namun menurut riwayat dari para sahabat, bagi mereka yang berlaku zalim dan memusuhi agama Allah seperti Abu Sufyan ketika peristiwa "fathul Makkah", para penduduk kota Tho'if ketika baginda berdakwah dan banyak lagi peristiwa lain menunjukkan sikapnya yang tidak aggresif terhadap musuh-musuh Islam, kecuali ketika menghunus pedang di medan perang.


Akhlak Rasulullah SAW merupakan contoh bagi umat Islam supaya mengawal emosi masing-masing supaya dapat menjadi teladan yang baik sama ada bagi sesama umat Islam itu sendiri mahupun kepada golongan bukan Islam atau musuh.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl:
"Jika kamu diseksa, maka kamu balaslah dengan adil, tetapi jika kamu bersabar, maka langkah sabar adalah yang terbaik”. - Surah An-Nahl, ayat 126.
Begitulah akhlak yang dianjurkan Rasulullah SAW dalam pergaulan meskipun ketika berhadapan dengan golongan yang memusuhi agama Allah. -Kedahnews.com