Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (tengah) |
KUCHING - Sarawak akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015 yang akan berlangsung dari 27 November hingga 3 Disember.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, HPPNK 2015 akan diadakan di pekarangan Dewan Suarah Kota Samarahan dan majlis pelancarannya bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 November 2015.
Manakala majlis penutupan rasmi HPPNK 2015 iaitu pada 2 Disember akan dilakukan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Terima kasih kepada kerajaan pusat lebih-lebih lagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia kerana memberi peluang kepada Sarawak menjadi tuan rumah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015,” katanya pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Terdahulu beliau mempengerusi mesyuarat jawatankuasa penganjur seterusnya menyempurnakan Majlis Pelancaran Promosi HPPNK 2015.
Menurut Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak, penganjuran HPPNK 2015 mendapat sokongan dari segi khidmat nasihat dan kewangan daripada kerajaan pusat menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta agensi-agensi di bawahnya.
Menurutnya tema HPPNK 2015 ialah ‘Agroteknologi Pemangkin Transformasi’ dan setakat ini 12 negeri telah mengesahkan penyertaan dalam aktiviti pameran serta jualan sepanjang sambutan berlangsung.
Tambahnya pada HPPNK 2015, pelbagai pameran dan aktiviti jualan akan diadakan iaitu pameran agensi awam dan swasta, pameran pavilion negeri dan ruang pameran MOA, pameran industri asas tani, pameran pertanian dan perikanan, veterinar, kejuruteraan pertanian, jualan ‘agrobazaar’ dan popular ‘dish’.
Mengulas lanjut mengenai tema HPPNK 2015, Jabu berkata ia menunjukkan penekanan kerajaan tentang pentingnya penggunaan teknologi moden dalam sektor perladangan, penternakan dan akuakultur untuk mengukuhkan lagi produktiviti.
“Kita perlu melakukan banyak penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, pada masa sama mengeluarkan bahan mentah berkualiti diperkukuhkan lagi, diikuti strategi pemasaran yang baik.
“Oleh itu, sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan sangat penting terutama untuk mengetengahkan idea-idea inovasi kepada kumpulan sasaran dengan harapan ia dapat membantu meningkatkan pengeluaran seterusnya pendapatan mereka,” ujarnya.
Sementara itu katanya, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan penerima-penerima anugerah pada HPPNK sebelum ini dari Sarawak untuk mengetahui perkembangan perusahaan mereka.
Menerusi rundingan itu nanti, katanya masalah dan bantuan sewajarnya akan dikenal pasti untuk meningkat serta mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran mereka.
“Ini kerana kita percaya Sarawak mempunyai potensi untuk mengembangkan pelbagai sumber pertanian dan penternakan pada masa akan datang seterusnya menjadi salah satu pengeluar produk pertanian utama negara,” katanya.
Sumber: UB