Atikah Suhaime |
Bukan mudah untuk membina nama di persada hiburan tanah air membuatkan pelakon Atikah Suhaime, 24, tidak gentar berhadapan cabaran.
Anak jati Singapura ini yakin mampu memastikan dia tidak mudah melatah dan bersabar dengan apa saja dugaan menimpa dirinya.
Pada kala namanya kian meniti puncak populariti, Atikah juga akur dia tidak mampu untuk terus mengelak atau menangkis sebarang gosip.
Terbaru, tanpa disangkakan pelakon filem Suami Aku Ustaz ini terseret gosip yang mendakwa dia tinggal sebumbung dengan teman lelaki.
Atikah yang sudah setahun menjalin cinta dengan kekasihnya yang bekerja sebagai juruterbang itu berkata ia gosip yang sukar diterima.
“Pada mulanya, saya marah apabila dikaitkan dengan gosip ini tetapi selepas difikir-fikirkan ia perkara kecil saja.
“Buat apa saya nak ambil hati dengan apa orang cakap kerana ia hanya gosip semata-mata. Lagipun, yang penting saya tidak ada kaitan dengan suami orang.
“Saya bercinta dengan lelaki biasa yang masih muda dan kami ada impian sendiri. Cuma, apabila gosip itu timbul, teman lelaki saya berasa janggal,” katanya.
Pemilik nama sebenar Nurul Atikah Mohd Suhaime ini berkata tempias gosip itu juga terpalit sama kepada keluarga teman lelakinya.
“Kasihan juga pada keluarganya (kekasih) kerana mereka tidak tahu-menahu pun. Macam ibu bapa saya, kedua-duanya sudah faham.
“Bahkan, keluarga saya juga tahu perkara sebenar dan mereka boleh terima dakwaan itu sebagai gosip yang lumrah dalam kehidupan selebriti. Apapun saya sangat bersyukur kerana gosip ini tidak memberi impak dan menjejaskan perjalanan karier seni saya.
“Sekarang, tawaran berlakon masih tidak putus-putus diterima dan saya juga kini dalam proses belajar memperbaiki kelemahan dalam lakonan,” katanya.
Atikah yang kini muncul dengan drama Bukan Isteri Sempurna untuk slot Samarinda di TV3, gembira drama dan filem lakonannya tersenarai dalam pencalonan Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015).
Dia yang ditemui pada majlis sidang media ASK 2015 baru-baru ini mengakui seronok bakat lakonannya semakin diterima dan nama dikenali peminat.
Tidak pernah menganggap dirinya ‘anak emas’ syarikat pengurusan artis dinaungi, Atikah berkata layanan diterimanya tetap sama rata dengan pelakon lain.
Mengulas mengenai projek drama terbaru lakonannya, Atikah berkata dia baru selesai penggambaran drama Ala Bib untuk slot Iris di TV3.
Drama arahan Along Kamaluddin itu dibarisi Nur Risteena Munim, Iqram Dinzly, Ammar Titan, Syafiq Kyle dan kemunculan istimewa Rani Kulup akan menemui penonton mulai 12 Oktober ini.
Berkongsi pengalamannya membintangi Ala Bib, Atikah berkata dia menjadi cucu kepada Rani dan berkahwin dengan lelaki berusia.
“Saya adalah kawan baik Bib (Risteena) yang berperanan memberi tunjuk ajar kepadanya bagaimana cara untuk menjerat lelaki berusia dan kaya. Ini kerana misi kami berdua sama iaitu mahu hidup dalam kesenangan,” katanya turut menyifatkan Rani sebagai kelakar dan cepat mesra.
Menurut Atikah, dia sentiasa mahu ketawa apabila ada babak membabitkan dia dan Rani bersama. Katanya lelaki itu ada aura komedi tersendiri.
Atikah mengakui bagi mengelakkan dirinya tidak dapat menahan ketawa ketika melakonkan babak dengan Rani, dia pastikan jarang memandang wajah lelaki itu.
Katanya, ia bagi memudahkan dia bekerja dan memastikan dapat berlakon dengan baik. Mengenai Along pula, katanya ia kerjasama kali pertama.
“Saya akui gementar juga pada mulanya untuk menjalani penggambaran dengan Along kerana ramai kata dia garang.
“Bagaimanapun, tanggapan itu tidak benar kerana apa yang saya lihat Along tidak garang sebaliknya tegas,” katanya.
Atikah juga memberitahu pada awalnya dia janggal dengan wataknya sebagai gadis muda yang menjadi isteri kepada lelaki berusia.
Katanya, ia satu cabaran sangat besar kerana lelaki yang sepatutnya dipanggil ayah bertukar status kepada suami.
Sumber: myMetro