"Saya Tiada Feel Ketika Bersama Awak.." Kata Isteri Pada Suaminya

CALAR: Leher pengadu cedera selepas dipercayai diterkam lelaki yang dipercayai menggoda isterinya.

SIBU - “Saya tiada ‘feel’ (perasaan) ketika bersama awak,” kata pengadu mengenang kembali sebaris ayat isterinya menyebabkan dia benar-benar kecewa ketika membuat laporan polis di sini, semalam.

Dalam laporan polis, pengadu, 28, menyatakan dia bergaduh dengan isterinya, 22, di rumah mereka di Ulu Sungai Merah pada jam 3 pagi semalam selepas berang kerana isterinya pulang ke rumah lewat pada pagi kejadian.

Tanpa diduga, tiga lelaki berbangsa Cina yang menggunakan kereta Vios menerjah masuk ke dalam rumah semasa pasangan itu bergaduh.

Salah seorang daripada mereka merampas telefon bimbitnya dan menampar muka pengadu tiga kali sehingga lebam.

“Semasa saya cuba melawan, leher saya diterkam salah seorang daripada mereka menyebabkan saya mengalami kecederaan di sebelah kanan bahagian leher. Dia memaksa saya bercerai dan jika tidak, saya tidak boleh keluar dari rumah,” katanya yang hanya dikenali sebagai Yun.

Menurutnya, hubungan mereka menjadi renggang setelah isterinya asyik keluar malam sejak sebulan lalu.

“Pernah sebelum ini, saya terpaksa membawa bapa mentua untuk mengambilnya (isteri) di rumah seorang lelaki pada lewat malam dua minggu lepas,” katanya.

Walaupun isterinya menyatakan hasrat bercerai, namun pengadu keberatan kerana mereka mempunyai dua anak perempuan berumur empat dan satu tahun.

Semalam, pengadu tampil ke balai meminta polis mengambil tindakan terhadap tiga lelaki yang menceroboh rumahnya serta mendakwa mengganggu rumah tangganya.

Untuk fakta, perbuatan menggoda isteri orang dengan niat bersanggama merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang negara.

Jika disabit kesalahan, seseorang lelaki didapati bersalah boleh didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang wanita bersuami dengan niat jenayah.

Kes tersebut kini dalam siasatan polis.

Sumber: Borneo Post