"Saya Tidak Pernah Berubah, Saya Sokong SOSMA.." - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas pihak yang mendakwa beliau berdolak-dalik mengenai pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sambil menegaskan pendiriannya berhubung perundangan itu tidak pernah berubah.

"Pendirian saya tidak pernah berubah.

"Saya menyokong SOSMA untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

"Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan SOSMA yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang," katanya menerusi kenyataan kepada media, semalam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang digugurkan ketika rombakan Kabinet pada Julai lalu itu merujuk kepada kenyataan bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan veteran Barisan Nasional lain pada 12 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebelum ini telah menegaskan bahawa Khairuddin dan Matthias Chang tidak ditahan di bawah SOSMA, sebaliknya di bawah peruntukan Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa pendakwaan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang adalah di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj sistem kewangan negara dan perbankan Malaysia.

"Tindakan ini bagi menjawab persoalan yang dikemukakan menerusi laporan media semalam yang mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan SOSMA bagi menahan Khairuddin dan Matthias," kata Peguam Negara.

Muhyiddin mendakwa, pendiriannya selari dengan jaminan kerajaan ketika akta ini digubal bahawa ia tidak akan disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik, termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara serta memberikan pandangan.

Pada Selasa, Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose mendakwa Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdolak-dalik berhubung isu Sosma. -Kedahnews.com