Sebenarnya Kami Bergurau Lebih Kasar Daripada Nabil – Caliph Buskers


Senda gurau pelawak Nabil Ahmad yang secara tidak sengaja mempersendakan kekurangan kumpulan Caliph Buskers ketika mengendalikan konsert pertama Gegar Vaganza 2 (GV2) dua minggu lalu, mengundang kritikan dan rasa kurang senang banyak pihak.

Namun bagi kumpulan muzik cacat penglihatan ini, mereka tidak terasa dengan gurauan tersebut, malah menyifatkan gurauan mereka lebih kasar berbanding Nabil.

“Jujurnya, sedikit pun kami tak terasa dengan gurauan Nabil itu. Kami mengikuti program itu dan lawak dia memang menghiburkan.

“Apatah lagi setiap minggu kami berjumpa dengan Nabil di program Meletop dan kami sangat mengenali dia yang suka bergurau secara kasar.

“Ahli-ahli Caliph Buskers lain pun seronok dengan gurauan dia kerana kebanyakan orang melayan kami terlalu baik disebabkan kekurangan kami.

“Memang dari dulu lagi masyarakat begitu prihatin terhadap sensitiviti golongan OKU. Kami bersyukur dengan perkara itu.

“Tetapi kalau anda semua nak tahu, kami lebih suka jika kami dilayan seperti orang biasa. Kami suka bergurau, malah lebih kasar daripada Nabil lagi. Hahaha..” ujar Azmi selaku vokalis kumpulan Caliph Buskers kepada mStar Online.

Sebelum ini, Nabil mengaku dia diselubungi perasaan bersalah akibat keterlanjurannya bergurau dan telah meminta maaf secara peribadi kepada kumpulan tersebut.

Malah, pihak Astro turut bertindak menegurnya agar lebih berhati-hati.

Kumpulan Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi Saat (vokalis), Nirwan (pemain gitar), Zaki (pemain gitar/vokalis), Fendy (cajon/vokalis), Rubiana (shaker/vokalis). -Kedahnews.com