Sejuta Kereta Di Perancis "Kantoi" Dilengkapi Alat Tipu Pencemaran

Gambar Hiasan
PARIS – Hampir sejuta unit kenderaan pelbagai jenama yang dijual di seluruh Perancis beberapa tahun lalu dilengkapi dengan alat khas untuk menipu ujian kadar pencemaran udara.

Dalam satu kenyataannya, syarikat automotif terkenal Volkswagen (VW) di negara itu berkata, sebanyak 984,064 kereta di Perancis terbabit dalam skandal yang mengejutkan industri automobil.

Kebanyakannya ialah model VW yang sebelum itu turut mencetuskan skandal penipuan kontroversi sama di beberapa negara Eropah lain akhir-akhir ini.


Bagaimanapun, di Perancis ia juga termasuk kereta berkuasa diesel, kenderaan perdagangan, Audi, Seat serta Skoda yang sebahagiannya daripada kumpulan induk VW.

Kerajaan Perancis mendesak supaya siasatan dijalankan di seluruh Eropah selepas syarikat pembuat kereta Jerman itu mengaku ia melengkapkan kereta dengan perisian canggih.

Alat itu berupaya mematikan kawalan pencemaran secara sulit apabila kereta itu dipandu dan memasangnya apabila ia mengesan kereta itu menjalani ujian pencemaran. – Agensi