Selepas 40 Tahun, BSN Berwajah Baru, Berwarna "Teal"

Adinan Maning (kiri), Yunos Abd Ghani Kin Meng melihat logo BSN selepas sidang media penjenamaan semula BSN pada Khamis. - Foto NORAFIFI EHSAN/The Star
KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) mengambil langkah melakukan penjenamaan semula selepas 40 tahun penubuhannya demi meningkatkan perkhidmatan yang relevan kepada para pelanggan.

Selain itu, BSN turut memperkenalkan imej dan logo baharunya sekali gus menukarkan ‘wajah’ pokok duit syiling lama yang sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, BSN mengubah operasinya bagi memberi perkhidmatan kepada komposisi pelanggan yang semakin berkembang.

“Selepas 40 tahun, BSN adalah jenama yang terkenal di Malaysia. Namun, ada perbezaan dalam persepsi jenamanya berdasarkan demografik pelanggan yang berbeza.

“Justeru, dengan penjenamaan semula ini, kami yakin identiti jenama baharu ini akan diterima sepenuhnya oleh semua rakyat Malaysia

“Rangkaian dan titik perkhidmatan kami yang baharu dan dinaik taraf dengan memaksimumkan teknologi bagi membolehkan pelanggan menikmati sepenuhnya akses perbankan yang berkualiti dan efisien," katanya yang dipetik dari mStar.

Wajah, warna lama BSN
Tambah Adinan, BSN telah memperuntukan sebanyak RM130 juta bagi penjenamaan semula dalam tempoh tiga tahun.

Difahamkan, setakat ini sebanyak 37 daripada 401 cawangan BSN di seluruh negara telah melalui penjenamaan semula.

“Cawangan berwajah baharu ini dilengkapi susun atur dalaman yang menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan keselesaan pelanggan.

“Kita akan melakukan penjenamaan semula secara berperingkat. Kita yakin dapat melaksanakan di semua cawangan dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada sidang media penjenamaan semula BSN, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Penjenamaan semula BSN memperlihatkan visual identiti baharu yang mengubah warna korporatnya kepada warna ‘teal’ yang melambangkan kebolehpercayaan dan kebergantungan. -Kedahnews.com