Seluruh Langkawi Bakal Memiliki Kemudahan Internet Sepenuhnya - Norsabrina

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Manusia Kedah Datuk Norsabrina Mohd Noor
BANDAR BAHARU - Pulau Langkawi bakal mempunyai kemudahan internet sepenuhnya berikutan kelulusan peruntukan penyediaan kabel gentian optik dasar laut dalam Bajet 2016.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Manusia Kedah Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata kemudahan itu membolehkan Langkawi bergerak ke arah aplikasi digital.

"Dengan pengumuman itu, pihak pengurusan hotel di Langkawi dan pengunjung boleh menarik nafas lega kerana ia akan meningkatkan kadar penembusan internet di seluruh pulau itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengacau Bubur Asyura di sini, semalam.

Sebelum ini katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk membina menara telekomunikasi tetapi ia masih gagal untuk memastikan keseluruhan pulau peranginan itu memiliki akses internet.

Pada pembentangan bajet Jumaat lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disediakan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion bagi menambahbaik infrastruktur telekomunikasi negara tahun depan. - BERNAMA