Semua Pemimpin Masyarakat Di Sarawak Berhak Pertahan Kerajaan Sedia Ada

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
SIBU - Para pemimpin masyarakat di Sarawak disifatkan sebagai benteng pertahanan yang sangat kukuh dan ampuh yang secara tradisinya setia mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak di zaman awal merdeka lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana segala elaun pemimpin masyarakat dibayar kerajaan kerana mengiktiraf pelantikan mereka.

“Pemimpin masyarakat bekerja dengan kerajaan kerana kita mengiktiraf pelantikan mereka. Justeru, mereka harus pertahan kita apabila ada serangan pembangkang.

“Mereka berhak bersuara mewakili kerajaan jika ada yang mahu memburuk-burukkan BN,” tegasnya tentang hak pemimpin masyarakat di bumi kenyalang itu.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015 (Bahagian Sarikei) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Ketua Menteri, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datu Chaiti Bolhassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) KKLW Datuk Rahim Abu Bakar, Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA) Datuk Rubiyah Abdul Rahman serta tetamu kehormat yang lain.

Seramai 468 peserta terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari bahagian Sarikei telah menyertai seminar ini.

Seminar ini anjuran KKLW melalui INFRA yang merupakan inisiatif INFRA untuk memberi kefahaman terhadap konsep kepimpinan efisien dan berketerampilan kepada pesertanya.

Tujuan seminar ini diadakan untuk menjadikan setiap JKKK sebagai ejen transformasi yang mempunyai perancangan membangunkan desa meliputi aspek infrastruktur mahupun sosioekonomi masyarakat setempat.

Ismail Sabri berkata, pemimpin masyarakat perlu proaktif pertahan kerajaan terutama dalam menjawab segala tohmahan dibawa pembangkang menentang kerajaan negeri.

“Seseorang wakil rakyat di sesebuah kawasan tidak mampu menjaga semua kawasan apabila ada serangan pembangkang. Maka pemimpin masyarakat membantu wakil rakyat itu bersuara bagi memperjelas perkara sebenar sekali gus mempertahan kerajaan BN.

“Itulah peranan utama anda,” katanya sambil mengingatkan pemimpin masyarakat sentiasa menyediakan profil kampung atau rumah panjang, sebagaimana yang dipetik dari media tempatan di sana.

Terdahulu dalam ucapannya, Jabu mengingatkan agar pemimpin masyarakat tidak terpedaya dengan helah ataupun hasutan pembangkang kerana ia hanya membazir masa.

“Parti pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah sebuah parti yang tidak mahu melihat kawasan luar bandar maju dan membangun.

“Setiap kali kerajaan mempunyai bajet untuk membangun kawasan luar bandar, mereka akan bantah. Ternyata DAP sebuah parti yang tidak mahu melihat kawasan luar bandar membangun.

“Justeru, kita tolak parti ini begitu juga dengan parti pembangkang yang lain. BN adalah parti yang tepat untuk kita pilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” tambahnya.

Pada majlis sama, Ismail Sabri dan Jabu turut menyaksikan seramai 36 ketua masyarakat dari bahagian Sarikei melafazkan ikrar sebagai menunjukkan kesetiaan mereka kepada kerajaan BN. -Kedahnews.com