Semua Sekolah Di Seluruh Malaysia Ditutup 2 Hari Mulai Esok - Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid
ALOR SETAR – Sekolah di seluruh Malaysia kecuali di beberapa negeri diarah tutup selama dua hari dari 5 hingga 6 Oktober 2015 akibat masalah jerebu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, arahan itu dikecualikan bagi sekolah di Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah.


“Guru dan murid (di sekolah terbabit) tidak perlu hadir ke sekolah,” katanya menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Mahdzir turut mengumumkan, sekolah terbabit tidak perlu menggantikan sesi persekolahan akibat penutupan itu.

“PT3, STAM, SPM dan STPM 2015 akan diteruskan mengikut jadual.

“Calon-calon akan dibantu serta diberi peringatan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib semasa bencana jerebu,” katanya.

Bagaimanapun sumber Kementerian Pendidikan menjelaskan kepada Kedahnews.com bahawa sesi persekolahan petang di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor pada hari ini terpaksa diteruskan seperti biasa ekoran sesi berkenaan telahpun lebih awal memulakan sesi persekolahan awal tengahari tadi.

Mahdzir dalam kenyataannya susulannya turut menjelaskan pengumuman tersebut bagi mengelak kekeliruan orang ramai.


"Pembetulan; Sesi persekolahan petang bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor pada hari ini, 4 Oktober 2015 ( Ahad ) berjalan seperti biasa. Mohon maaf diatas kekeliruan sebelum ini," tulis beliau. -Kedahnews.com