Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyenaraihitamkan pemilik kenderaan yang mempunyai kesalahan berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata MBPP sedang memohon kerjasama dari JPJ untuk mengambil tindakan senarai hitam terhadap pemilik kenderaan yang mempunyai kesalahan secara berulang serta gagal menghadirkan diri ke mahkamah.
“Kami masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak JPJ dan tindakan itu untuk memastikan pemilik kenderaan tidak mengulangi kesalahan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, MBPP telah memutuskan untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas pemilik-pemilik kenderaan yang gagal membayar kompaun.
“Mereka yang enggan mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan tegas dan pihak MBPP tidak akan teragak-agak untuk menunda kenderaan itu sekiranya perlu,” katanya.
Beliau berkata MBPP telah mengambil tindakan mahkamah terhadap 3,500 pesalah trafik pada tahun lepas dan bagi tahun ini setakat 14 Oktober, sebanyak 111,430 kompaun telah dikeluarkan untuk pelbagai jenis kesalahan di negeri ini. – BERNAMA