Seni manik di Sarawak |
KUCHING - Seni manik di Sarawak mempunyai potensi yang kukuh untuk terus dikomersialkan serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada artis yang mahir.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia adalah perkara biasa untuk melihat manik di Sarawak diolah menggunakan kreativiti dan kemahiran dan dijalankan sebagai perniagaan keluarga sebelum mengubah ia kepada industri desa yang jauh lebih lumayan.
Beliau juga berkata Sarawak mempunyai semua sumber untuk kraf tangan yang berkualiti bagi memenuhi pasaran manik yang kompetitif terutama bagi penduduk di luar bandar yang kini banyak telah mengkomersialkannya.
“Ramai usahawan wanita kita menghasilkan kerja manik dan manik sulaman pelbagai rekaan,” kata Rohani pada Majlis Makan Malam ‘Borneo International Beads Conference’ (BIBCo) Ke-4 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam kelmarin (Sabtu).
Di Sarawak, tradisi manik katanya terus hidup sebagai seni yang dibuat di atas pakaian yang rumit dan perhiasan badan untuk digunakan dalam upacara adat meraikan perkahwinan dan upacara-upacara lain.
“Berakar umbi dalam tradisi lama pelbagai budaya di Malaysia Timur, seni manik telah berkembang menjadi sumber ekopelancongan utama di mana orang yang mempunyai kemahiran manik membuat barang kemas berdasarkan kreativiti dan teknik-teknik tradisional,” kata Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar.
Dalam perkembangan lain, persidangan itu katanya disertai penceramah manik berprofil tinggi, pereka barang kemas, perunding seni, penceramah profesional serta delegasi tempatan dan luar negara yang datang ke Sarawak.
“Saya menggesa peserta BIBCo tempatan mengambil kesempatan ini untuk bertukar-tukar idea dan kemahiran dengan profesional kerana persidangan ini juga dapat menyediakan pengalaman merangsang semua peserta dan delegasi,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Crafthub Sdn Bhd Heidi Munan dan Pengarah Muzium Sarawak Ipoi Dantan.
Sementara itu, persidangan tiga hari itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip yang mewakili Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, di Kompleks Pelancongan Sarawak (Old Court House).
Persidangan itu juga mempamerkan manik ‘Abuzz’, yang mempamerkan bazar besar dan pemasaran manik dari seluruh dunia yang dibuka kepada orang ramai.
Sumber: UB