Shridhar Chillal |
JIJIK melihat kuku yang panjang ini namun bagi lelaki ini, Shridhar Chillal, 78, dari India, dia mula menyimpan kuku tersebut sebagai menyambut cabaran daripada gurunya ketika bersekolah dulu.
Ukuran kuku berkenaan adalan 909.6 cm dan dia telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai lelaki yang memiliki kuku paling panjang di dunia.
Ketika mendedahkan kenapa dia menyimpan kuku itu, Chillal berkata, ketika kecil rakannya telah dipukul oleh guru mereka disebabkan dia mematahkan kuku gurunya itu.
“Kami bertanya kepada guru kami kenapa dia marah, dia memberitahu hanya mereka yang memiliki kuku panjang sahaja akan mengetahui sebabnya.
“Bermula dari situ saya menyahut cabaran berkenaan dan tidak lagi memotong kuku,’’ katanya.
Jelasnya, keadaan berkenaan memberikan masalah kepadanya kerana keluarganya tidak suka dengan keadaan tersebut malah tiada sesiapapun di kalangan anggota keluarganya mahu mencuci bajunya.
Dia juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Selain itu, dia juga dijauhi oleh wanita kerana mereka menyifatkannya sebagai pengotor dan jika ada wanita yang suka padanya pula, keluarga mereka pula menentang kerana bimbang kuku Chillal akan membelit leher anak perempuan mereka.
Namun Chillal berkahwin juga pada usia 29 tahun dengan kakak ipar kepada adiknya.
Kini, Chillal merancang untuk memotong kuku tersebut dan menyimpannya di muzium. Dia bagaimanapun tidak menyatakan bila dia akan berbuat demikian.
“Saya menyimpan kuku ini sejak 1952, dan sekarang ia sudah bersama saya selama 62 tahun,’’ katanya. -Kedahnews.com