Spa Bergerak Untuk Wanita Yang Sentiasa Sibuk


KUALA LUMPUR - Sungguhpun berada di rumah sendiri suasananya tidak ubah seperti berada di spa. Alunan muzik yang menenangkan dengan haruman aromaterapi memenuhi ruang membangkitkan kesegaran selepas seharian penat bekerja.

Memanjakan diri dengan urutan badan dan wajah mampu menghilangkan tekanan terutama setelah penat bekerja. Dikendalikan juruterapi profesional menjadikan khidmat spa bergerak semakin diminati golongan wanita terutama yang bekerjaya.

Alasan sibuk dan kesuntukan masa untuk ke spa menjadikan khidmat spa bergerak semakin popular sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ia menambah kemeriahan perkhidmatan bergerak yang kini umpama "cendawan tumbuh selepas hujan" bagi memenuhi keperluan masyarakat.

MENYELESAIKAN MASALAH WANITA

Menyelesaikan masalah wanita dengan memberikan khidmat spa bertaraf lima bintang di rumah pelanggan menjadi keutamaan Gloderm Beauty Studio sejak memperkenalkan khidmat spa bergerak pada penghujung tahun lepas.

Selama 10 tahun membuka pusat spa di Damai Perdana Cheras, pemiliknya Rafidah Ali berkata permintaan terhadap spa bergerak terutama di sekitar Cheras menyebabkan beliau menambah perkhidmatan itu.

Pelanggannya, kebanyakan wanita bekerja sering mengeluh keletihan namun berhadapan kekangan masa untuk datang ke spa beliau secara kerap bagi mendapatkan khidmat rawatan yang disediakan.

"Apabila semakin banyak permintaan, saya membuat keputusan untuk mengembangkan perkhidmatan spa ke rumah-rumah pelanggan.

"Sejak memulakannya penghujung tahun lepas, permintaan semakin meningkat," katanya yang menekankan aspek "relaxation" dalam rawatannya.


Dikhususkan untuk wanita, khidmat ini lebih fleksibel untuk mereka yang bekerja dengan spa bergerak itu beroperasi sehingga pukul 10.00 malam berdasarkan tempahan pelanggan.

Amat menekankan kesempurnaan, setiap pelanggan yang mendapatkan khidmatnya akan dilayan sama seperti mereka yang datang ke spa miliknya.

Set yang lengkap termasuk katil serta produk dibawa bersama bagi memastikan pelanggan dapat berehat dan menikmati rawatan yang dikehendaki dengan selesa.

"Tidak dibezakan antara kedua-duanya. Cuma jika kami datang ke rumah pelanggan, khidmat yang ditawarkan agak terhad berbanding jika mereka datang ke pusat spa kami.

"Biasanya rawatan yang sering mendapat permintaan, urutan badan dan rawatan muka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

CABARAN DI RUMAH

Mempunyai tiga juruterapi, Rafidah berkata selain Cheras, spa bergerak itu turut menawarkan khidmat di sekitar Lembah Kelang.

Memastikan sesi rawatan dijalankan dengan sempurna, juruterapinya akan datang setengah jam awal ke rumah pelanggan untuk menyediakan segala kelengkapan sebelum sesi rawatan bermula.

Masalah ruang kadangkala menjadi cabaran selain gangguan-gangguan bunyi yang terdapat dalam rumah.

"Sebolehnya kami ingin memastikan pelanggan mendapat rehat yang sangat berkualiti sepanjang rawatan itu... biar sampai mereka tertidur," katanya.

Juruterapi terlatih sangat diperlukan untuk mengendalikan setiap pelanggan yang perlu dilayan umpama "permaisuri" pada setiap sesi yang dijalankan.

Setiap teguran atau rasa tidak puas hati yang diterima daripada pelanggan, menunjukkan kegagalan kami, katanya.

Menurut beliau, persaingan dalam spa bergerak semakin sengit dan untuk kekal khidmat harus disampaikan dengan cara yang profesional.

"Kerana itu kami mengutamakan khidmat bertaraf lima bintang tetapi dengan harga tiga bintang," katanya yang turut menyambut baik golongan belia dan ibu tunggal yang berminat menyertai beliau untuk dilatih sebagai juruterapi.

Bagi Noraini Mohd Noor, khidmat spa bergerak sangat diperlukan untuk wanita yang bekerjaya seperti beliau yang tidak berkesempatan untuk ke spa.

Sekurang-kurangnya sebulan sekali beliau akan mendapatkan khidmat juruterapi spa bergerak bagi membantu melancarkan kembali aliran darah pada tubuh melalui urutan.

"Kita sering berhadapan dengan stres di tempat kerja dan di rumah. Rawatan spa seperti satu terapi untuk membantu meredakannya.

"Apabila sudah ada perkhidmatan spa bergerak lebih memudahkan dan menjimatkan masa. Tidak perlu memikirkan soal kesesakan jalan dan sebagainya. Panggil saja mereka datang ke rumah," katanya.

PERKEMBANGAN POSITIF

Melihat kepada permintaan tinggi khidmat spa bergerak pada masa kini memberi gambaran positif untuk industri itu berkembang pada masa hadapan, menurut Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), Norliza Othman.

Gaya hidup masyarakat hari ini yang sentiasa dibatasi masa menjadikan khidmat spa bergerak sebagai alternatif untuk orang ramai mendapatkan terapi untuk badan dan minda.

Pada masa ini kebanyakannya tertumpu di ibu kota, tidak mustahil akan berkembang di bandar lain di Malaysia berikutan kesedaran, minat dan kefahaman masyarakat terhadap spa yang semakin meningkat.

Spa menawarkan gabungan beberapa jenis kaedah perawatan termasuk terapi gelombang air (hydrotherapy), terapi panas (thermotherapy), terapi elektrik (electrotherapy), terapi urutan, refleksologi, terapi warna, terapi muzik, terapi ramuan tumbuhan atau jamu, terapi zat makanan, meditasi dan rawatan mengikut pendekatan agama.

Ia bergantung kepada keperluan dan tubuh individu itu namun semua kaedah rawatan di spa dapat memberikan kesan positif jika dilakukan dengan cara yang betul, katanya.

Ditanya tidakkah perkembangan spa bergerak akan memberi persaingan kepada pemilik premis spa yang ada, Norliza berkata ia hanya akan mewujudkan persaingan yang sihat. Malahan kebanyakan mereka yang menjalankan perniagaan spa bergerak turut mempunyai premis spa mereka sendiri.

"Spa berlainan menawarkan konsep serta pengalaman berlainan bagi pelanggan. Jadi tidak menjadi isu sekiranya terdapat banyak khidmat spa bergerak pada masa kini kerana khidmat spa tetap mendapat tempat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, satu badan harus mengawal selia khidmat spa bergerak bagi memastikan kualiti perkhidmatannya terpelihara.

"Ini kerana ramai dalam kalangan usahawan yang baru menceburi industri spa tidak betul-betul faham tentang industri itu sendiri. Mereka menyertainya kerana merasakan ia satu peluang yang baik untuk mencari rezeki.

"Jadi saya sarankan usahawan baru dan lama agar berpersatuan kerana melalui persatuan suara industri spa boleh dijadikan sebagai tempat rujukan," katanya. - BERNAMA