Gambar Hiasan |
KUANTAN – Mahkamah Majistret di sini menjatuhi hukuman penjara seminggu bermula hari ini dan denda RM800 ke atas seorang lelaki Azahar Ismail, yang mengaku bersalah mencederakan isterinya pada Ogos lepas.
Azahar, 41, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap isterinya, Marshitah Nurul Ashikin Musa, 31, di rumahnya di Kampung Batu 6, Jalan Sungai Lembing, di sini pada pukul 7.45 pagi, 28 Ogos lalu.
Ketika memohon hukuman diringankan, bapa kepada dua anak yang masih bersekolah itu memaklumkan dia sudah bercerai pada September lalu.
“Saya mohon dikenakan denda. Saya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800. Saya hanya mampu bayar RM500,” katanya.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali bagaimanapun berkata beliau mengambil kira kejadian berlaku semasa tertuduh masih lagi bergelar suami isteri, dan menasihatkannya untuk menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, Marshitah yang tinggal berasingan dengan suaminya, pergi ke rumah tertuduh untuk mengambil anaknya untuk ke tadika bagi menghadiri sesi fotografi, namun tidak dibenarkan, malah Azahar menutup pintu serta menguatkan televisyen.
Dia kemudian menuju ke belakang rumah apabila melihat seorang lagi anaknya di situ, bagaimanapun, tertuduh membuka cermin tingkap dapur sebelum menyimbah air paip dan membaling nanas serta tandan sawit, yang terkena belakang badan mangsa.
Semasa meninggalkan rumah itu, motosikal Marshitah pula dibaling batu sehingga lampu hadapan pecah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah. – BERNAMA