Foto ehsan; myMetro |
SUBHANAALLAH..!
Seorang jemaah haji tidak menyangka, impiannya untuk dapat berjalan semula akhirnya termakbul hasil berkat doanya di hadapan Kaabah.
Bercerita pengalaman uniknya itu, Fatimah Abd Latif, 60 berkata, dia menyedari kakinya boleh bergerak semula selepas bangun tidur dan mahu bersiap menunaikan solat Subuh di Masjid Nabawi.
“Kemudian, saya cuba bergerak tetapi hanya dapat bergerak tiga langkah sahaja. Bagaimanapun, saya cuba lagi bergerak dengan bantuan anak dan menantu untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Nabawi.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana setiap hari saya berdoa termasuk di hadapan Kaabah memohon supaya kaki kiri boleh bergerak dan sihat untuk menunaikan ibadah.
“Allah memakbulkan doa saya dan kami sekeluarga berasa terharu, sebak serta bersyukur atas nikmat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Sebelum ini, Fatimah disahkan mengidap angin ahmar yang mengakibatkan badannya lumpuh sebelah kiri sejak lima tahun lalu.
Memetik dari Harian Metro, ketika mula tiba di Madinah seterusnya bergerak ke Makkah dan menunaikan wukuf di Arafah, Fatimah antara jemaah haji yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Fatimah merupakan antara 455 jemaah haji yang tiba ke tanah air dari Madinah menerusi penerbangan pulang terakhir pesawat sewa khas Malaysia Airlines Berhad MH8289, petang Rabu.
Hadir sama menyambut ketibaan jemaah haji ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Ismee Ismail. -Kedahnews.com