Sudah 19 Maut Di Indonesia Akibat Jerebu, Ribuan Masih Sakit


Bencana jerebu teruk yang menyelubungi beberapa wilayah di negara jiran, Indonesia, telah mengakibatkan angka kematian meningkat kepada 19 orang, manakala ribuan penduduk yang lain menghidap pelbagai penyakit berikutan kualiti udara berada pada paras berbahaya.

Angka korban itu disahkan oleh Menteri Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa.

“Setakat pagi ini, terdapat 19 orang yang meninggal dunia akibat jerebu,” katanya.

Jelasnya, 5 mangsa adalah dari Kalimantan Tengah, 5 mangsa dari Sumatera Selatan, 5 mangsa dari Riau, 1 mangsa dari Jambi dan 3 mangsa dari Kalimantan Selatan.


Sebelum ini, agensi Indonesia mendakwa 10 orang telah meninggal dunia akibat menghadapi masalah pernafasan dan sebilangan daripada mereka adalah yang terlibat ketika memadamkan kebakaran.

Bencana jerebu ini dilaporkan berlaku sejak lebih dua bulan lalu akibat kebakaran hutan di Indonesia hingga menyebabkan sebahagian besar kawasan Asia Tenggara diselubungi asal tebal.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan banyak penerbangan dan pelbagai acara dibatalkan, manakala sekolah dan pusat beli-belah ditutup. – AGENSI