Sudah 28 Tahun, Anjang Masih Gunting Rambut Bawah Pokok


BINTANGOR - Pengunjung ke pekan Bintangor, yang terletak di tepi Sungai Rajang, akan pasti tidak terlepas pandang kelibat seorang tukang gunting yang sedang sibuk mengunting rambut pelanggan di bawah sepohon pokok.

Tukang gunting rambut warga emas itu tidak lain ialah Ahmad Juki, 69, atau lebih dikenali sebagai Anjang Mat dalam kalangan pelanggan tetap dan penduduk setempat.

"Gunting rambut encik," sapa Anjang Mat dengan ramah apabila melihat penulis bersama seorang rakan berjalan ke arah beliau yang sedang duduk atas bangku plastik menunggu pelanggan di bawah sepohon pokok di Jalan Dermaga.

Kebiasaanya, Anjang Mat akan berada di tempat itu seawal pukul 7.00 pagi selepas menghantar anak bongsu perempuan berusia tujuh tahun ke sekolah.

"Inilah kerja yang saya sudah lama lakukan untuk menyara keluarga kira-kira 28 tahun lepas. Saya tidak pernah merasa malu melakukan pekerjaan menggunting di bawah pokok ini. Apa yang penting ia memberi rezeki halal dan saya tidak menyusahkan orang lain," katanya.

MINAT SEJAK BANGKU SEKOLAH LAGI

Menurut Anjang Mat, beliau telah menyimpan minat untuk menggunting rambut sejak berada di bangku sekolah lagi apabila sering membantu menggunting rambut rakan-rakan sekelas semasa menuntut di SK Abang Amin, Bintangor.

Anjang Mat menggunting rambut pelanggan. Foto Bernama
"Melihat minat dan kebolehan saya, salah seorang guru ketika itu iaitu Cikgu Ibrahim, orang Sibu, telah menghadiahkan saya gunting rambut," ceritanya.

Kerana minatnya yang begitu mendalam, beliau bukan sahaja menggunting rambut rakan-rakan di sekolah malahan penduduk kampung tanpa meminta bayaran.

Pada peringkat awal sebelum menjadikan kerja menggunting rambut sebagai kariernya, beliau sering pergi ke kedai-kedai menggunting rambut untuk memerhati cara tukang-tukang gunting menggunting rambut pelanggan mereka.

"Pernah mereka bertanya, apa tengok-tengok mahu belajarkah? Saya kata tidak, saja nak tengok. Kalau saya kata mahu belajar mereka akan kenakan bayaran kepada saya. Selepas itu cepat-cepat saya beredar," ujarnya.

Selain itu, Anjang Mat pernah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Sibu pada 2010 bagi memperoleh ilmu dan kemahiran baru.

TIDAK AKAN BERTUKAR KERJA

Walaupun jumlah pendapatan tidak seberapa, Anjang Mat tidak bercadang untuk bertukar kerja kerana usianya yang sudah lanjut menghalang beliau melakukan kerja-kerja yang berat.

Jumlah bayaran menggunting rambut yang dikenakan beliau hanya RM4.00 tanpa mengira umur pelanggan.

Selain harga yang murah kata beliau, sikap menghormati, mudah mesra dan ikhlas semasa memberi perkhidmatan turut penting untuk menarik pelanggan.

Anggaran purata harian pelanggan adalah antara 12 hingga 15 orang dari kawasan setempat dan dari kawasan Julau, Pakan serta Sarikei.

Walaupun kadangkala tidak ada pelanggan langsung terutama semasa musim hujan. beliau tetap redha serta bersyukur dengan rezeki diperoleh dan tidak pernah mengeluh.

Beliau tidak berani menyewa kedai yang mana kadarnya antara RM300 dan RM350 sebulan.

"Oleh sebab itu sehingga ke hari ini saya masih lagi menggunting rambut di bawah pokok ini. Kalau saya menyewa, nanti tidak mampu bayar, susah juga," jelasnya.

BERTUNGKUS LUMUS MEMBESARKAN ANAK

Menetap di Kampung Bidadari, Anjang Mat bertungkus lumus membesarkan anak perempuan bongsunya sejak kematian isteri keduanya kira-kira lima tahun lepas.

Dua lagi anak beliau hasil perkahwinan itu bekerja sebagai buruh kilang kayu.

"Semua urusan di rumah saya yang uruskan termasuk menyediakan makan dan minum. Sebaik sahaja menghantar anak ke sekolah, saya terus ke sini," katanya.

Sekitar 11.00 pagi pula beliau akan balik ke rumah untuk menyediakan makan tengah hari sebelum mengambil anaknya dari sekolah manakala pada sebelah petang beliau akan berehat dan menyediakan makan malam serta melakukan kerja rumah.

Kadangkala ada pelanggan tetapnya datang ke rumah untuk menggunting rambut.

"Disebabkan kesibukan ini, saya terpaksa menolak tawaran bekerja di kedai-kedai gunting rambut di Bintangor. Pernah beberapa pemilik kedai gunting rambut menawarkan saya gaji RM60 sehari kepada saya.

"Begitulah kehidupan saya. Saya sudah biasa dengan semua ini," kata Anjang Mat mengakhiri perbualan. -BERNAMA