Surat Tawaran Musim Haji Tahun Depan Akan Dikeluarkan Disember Ini

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
SEPANG – Surat tawaran haji bagi musim haji tahun depan akan dikeluarkan seawal Disember ini, kata Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Ini memudahkan mereka yang terpilih membuat persediaan seperti menghadiri kursus haji,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan terakhir seramai 455 jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut menyambut ketibaan kumpulan itu melalui penerbangan Malaysia Airlines MH8239 pada 12.30 tengah hari ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan anggota keluarga masing-masing.

Abdul Azeez berkata kumpulan itu menyertai 25,820 jemaah Malaysia yang selamat kembali ke tanah air sejak ketibaan pertama pada 29 September lepas.

Beliau berkata tiga jemaah haji bagaimanapun masih belum pulang kerana dua jemaah menerima rawatan di hospital di Makkah manakala seorang lagi di Jeddah.

“Secara keseluruhan operasi haji tahun ini berjalan lancar seperti dirancang kecuali dua insiden di Tanah Suci yang turut melibatkan jemaah Malaysia,” katanya.

Sejumlah 51 jemaah Malaysia meninggal dunia tahun ini, tujuh daripadanya disebabkan kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 Sept, seorang akibat insiden rempuhan di Mina manakala selebihnya kerana sakit.

Sebanyak 68 penerbangan terdiri daripada 43 penerbangan Malaysia Airlines dan 25 penerbangan Saudi Airlines digunakan untuk membawa pulang semua jemaah haji secara berperingkat bermula 29 September lepas. – BERNAMA