Pelakon Nora Danish berkata, jangan terkejut jika dia dan bekas kekasihnya Nedim Nazri akan berkahwin walaupun hubungan mereka ketika ini hanyalah sekadar teman biasa.
Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 33, berkata, hubungan cinta mereka adalah rumit dan mereka membuat keputusan berpisah sementara waktu untuk menyelesaikan beberapa masalah.
"Sebenarnya situasi kami sangat rumit ketika menjalinkan hubungan cinta dan sebab itu kami mengambil.keputusan untuk berpisah bagi menyelesaikan beberapa masalah.
"Jujurnya kami memang berkawan dan Alhamdulillah sudah 80 peratus masalah sudah diselesaikan. Selepas satu demi satu dapat diselesaikan, situasi hubungan kami berbeza walaupun status kami hanya kawan.
"Bagaimanapun saya harap orang ramai jangan terkejut sekiranya kami membuat keputusan untuk berkahwin," katanya kepada mStar Online.
Nora ditemui pada majlis pelancaran teater Mak Cun di Istana Budaya di sini pada Selasa.
Nora Danish dan Nedim Nazri sebelum ini dikatakan pasangan romantik namun hubungan itu putus seketika. |
Terdahulu Nora dalam kenyataanya kepada mStar Online siaran 24 Ogos lalu mendedahkan hubungannya dengan Nedim, 34, sudah berakhir dengan persetujuan bersama.
Namun baru-baru ini terdapat foto mereka yang dirakamkan secara berasingan bersama Bunga Cinta Lestari dan Ashraf Sinclair di Bali, Indonesia yang menimbulkan kekeliruan mengenai staus sebenar mereka.
Mengenai foto tersebut jelas Nora, dia mengakui ke bandar pelancongan itu bersama Nedim dan rakan-rakan yang digelar De Morian Crew bagi menghadiri majlis hari jadi teman mereka.
"Memang kami ke Bali. Kawan-kawan saya ialah kawan-kawan Nedim juga. Sebab itu kami bercuti semula.
"Dan kebetulan saya berjumpa dengan Bunga dan teruja mahu bergambar dengannya. Ashraf pula bergambar dengan Nedim.
"Perkara itu buatkan orang ingat kami berdrama pula. Sedangkan kami memang sudah berpisah," tuturnya.
"Nora mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, hasil perkahwinannya terdahulu dengan Rizal Ashram Ramli. Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.
Nedim juga seorang duda anak satu selepas dikatakan bercerai pada tahun 2013.
Sumber: mStar