London - Sebuah syarikat di United Kingdom menawarkan ‘tangan bionik’ bertemakan adiwira kesayangan untuk kanak-kanak yang terpaksa memotong anggota badan.
Open Bionics menggunakan teknologi pencetakan 3D mencipta anggota bahagian terbabit dan antara rekaan paling hebat, tangan ‘lightsaber’ seperti pedang laser digunakan watak Luke Skywalker serta Darth Vader dalam filem Star Wars.
Tangan itu turut bercahaya dan mengeluarkan bunyi seperti lightsaber berkenaan.
Satu lagi rekaannya diilhamkan Elsa dari filem animasi popular Disney, Frozen dengan tangan dihiasi emping salji.
Baru-baru ini, bintang Hollywood Robert Downey Jr yang popular sebagai Iron Man memberi seorang kanak-kanak lengan bionik baru berbentuk seperti tangan adiwira itu.
Menurut laman webnya: “Kanak-kanak lebih teruja dan seronok menggunakan prostetik mereka, malah lebih menyeronokkan apabila mereka percaya bukan saja membuat latihan fizikal, tetapi sebenarnya akan menjadi adiwira.”
Ia dijangka dijual mulai hujung tahun ini dengan anggaran harga AS$3,000 (RM13,000). - Agensi