Tarik Balik Bantuan Sekolah Agama: "Apabila Berkuasa, DAP Menjadi Zalim", - PAS

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri 
ALOR SETAR - PAS mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah menarik balik bantuan yang diberikan kepada beberapa sekolah agama rakyat persendirian yang dimiliki beberapa ahli PAS di negeri berkenaan baru-baru ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri dalam satu kenyataan mempersoal tindakan kerajaan DAP yang diketuai oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkan sebagai zalim apabila memegang kuasa.

"Dewan Ulamak PAS Pusat ingin meminta penjelasan kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP dan PKR berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang ditarik balik daripada beberapa buah sekolah rakyat milik persendirian ahli-ahli PAS.

"Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka," katanya dalam kenyataan tersebut, semalam.

Kata Dr Mohd Khairuddin, sekolah-sekolah terbabit telah menerima bantuan tahunan sejak tahun lalu, namun ia telah dihentikan dan surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik.

Justeru itu, beliau mendesak kepimpinan Kerajaan Negeri itu supaya tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan tersebut secepat mungkin. -Kedahnews.com