Terkandas Di Gurun, Semut Hitam Jadi Makanan "Penyambung Nyawa"


Perth - Seorang lelaki berusia 62 tahun yang terkandas selama enam hari di kawasan gurun Australia tanpa air dan makanan, terselamat dengan memakan semut hitam.

Menurut polis, Reg Foggerdy, 62, hilang sejak 7 Oktober lalu, ketika dalam perjalanan ke sebuah kem memburu dekat Laverton di Goldfields, Australia Barat.

Keluarganya menghubungi polis yang kemudian menemuinya 15 kilometer dari destinasi tujuannya.


Pegawai polis di Goldfields, Superintendan Andy Greatwood, berkata Foggerdy duduk di bawah sebatang pokok selama dua hari tanpa makanan dan air.

“Dia selamat dengan memakan semut hitam. Kemahiran hidupnya mengkagumkan.

“Ketika ditemui dia mengalami kekurangan air yang serius, sedikit tidak waras sebelum pulih selepas rawatan kecemasan.

“Cuaca di kawasan itu amat panas dan kebanyakan orang berkemungkinan besar tidak akan selamat,” katanya. - AFP