Tuan Guru Salleh Musa. |
SIK - Umat Islam seluruh dunia perlu bersatu dan menyatakan bantahan terhadap pencerobohan Masjid Al Aqsa oleh tentera Israel termasuk kezaliman yang menimpa umat Islam Palestin.
Sehubungan itu solat hajat perdana ‘Selamatkan Masjid Al-Aqsa’ dianjurkan di Madrasah Ar-Rahmaniah (Pondok Tuan Guru Haji Salleh Musa), dihadiri ribuan jemaah dan diimamkan Tuan Guru Salleh Musa.
Wakil madrasah, Yusri Hamid berkata, tindakan Israel itu boleh dianggap sebagai keganasan terhadap tempat suci ketiga umat Islam dunia.
“Menjadi kewajipan umat Islam menegakkan kebenaran dan hapuskan kezaliman, serta mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Palestin. Seluruh dunia perlu menyokong dan membantu saudara Islam di sana bagi menghentikan pencerobohan terhadap masjid dan menamatkan kezaliman Israel,” katanya.
Menurutnya, solat hajat itu adalah bagi memanjatkan doa kepada Allah agar melindungi Masjid Al-Aqsa serta umat Islam yang semakin dizalimi.
“Apa yang berlaku terhadap masjid itu merupakan satu percubaan Zionis yang kejam, membakar dan memusnahkan Masjid Al-Aqsa serta menghapuskan kesan kesucian bandar Al-Quds, selain bertujuan menyingkirkan umat Islam untuk menukar bandar itu kepada bandar Yahudi,” katanya.
Yusri berkata, ini merupakan isu kemanusiaan, kerana secara terang-terangan kezaliman dan pembunuhan berlaku termasuk memusnahkan harta benda, seperti yang berlaku di Gaza baru-baru ini.
“Pembinaan semula gereja Yahudi yang sudah roboh berhampiran Masjid Al-Aqsa adalah ancaman yang boleh mengubah Al-Quds kepada bandar Yahudi. Pihak Israel juga sedang menggali di bawah Masjid Al-Aqsa untuk menghancurkan masjid itu selain membangkitkan semula Temple of Solomon atau Kuil Sulaiman,” katanya.
Menurut pengkaji sejarah, runtuhan Kuil Sulaiman terletak di bawah Masjid Al-Aqsa dan umat Islam tidak boleh berdiam diri dan biarkan ia terus berlaku kerana tidak diketahui sejauh mana penggalian itu.
Yusri berkata, umat Islam perlu diingatkan mengenai kepentingan Masjid Al-Aqsa supaya timbul kesedaran mempertahankannya, kerana kedudukan masjid ini yang tinggi di sisi Islam berikutan tempat Israk junjungan Nabi Muhammad SAW.
Tuan Guru Salleh Musa berdoa ketika solat hajat perdana di Madrasah Ar-Rahmaniah. |
“Masjid ini juga merupakan kiblat yang pertama bagi umat Islam, kerana inilah kiblat yang ditujukan oleh Nabi dan sahabat selama 17 bulan berada di Madinah,” katanya.
Menurutnya, pada abad lalu, umat Islam telah mengalami perpecahan hingga menyebabkan kejatuhan khilafah Uthmaniah, dan pada masa sama ikatan zionis mula ditubuhkan bagi merampas tanah suci di Palestin.
“Ini termasuk menzahirkan warisan-warisan palsu dari kitab Taurat yang diputarbelit. Zionis Yahudi dan Kristian mula bersatu dan ketepikan ketegangan antara mereka demi menentang umat Islam dan merampas tanah suci di Palestin. Mereka serang Masjid Al-Aqsa bertubi tubi hingga menjadikannya pusat zionis,” katanya.
Yusri berkata, segolongan umat Islam mempertahankan masjid itu dengan menggadai nyawa serta membaik pulih bahagian yang rosak.
Sumber: Sinar Harian