Tidak Peka Pada Al-Quran Punca Kelemahan Umat Islam - Asyraf Wajdi

Asyraf WAJDI DUSUKI (tengah) beramah mesra dengan pelajar sambil diperhatikan oleh Musa Ahmad (dua dari kiri) selepas merasmikan Seminar Wahyu Asas Tamadun Peringkat Antarabangsa (SWAT 2015) di USIM, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. UTUSAN/Abd Razak Aid
SEREMBAN – Ketidakpekaan umat Islam ketika ini dalam menghayati isi kandungan al-Quran dilihat satu kelemahan ketara menyebabkan penghayatan ajaran Islam semakin jauh daripada landasan sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu, oleh kerana itu tidak hairanlah dunia Islam ketika ini seringkali dipandang serong dan tertekan oleh pihak luar.

Justeru katanya, penghayatan isi kandungan al-Quran itu perlu bermula dengan individu itu sendiri sebelum disebarluaskan kepada orang lain.

“Jika kita bercakap tentang kefahaman dan penghayatan isi kandungan al-Quran, ia perlu dipraktikkan kepada diri sendiri (sikap). Sebab itu kita mahu supaya konsep pembinaan generasi yang unik perlu bermula dari sekarang.

“Sebab itu melihat daripada keperluan semasa, kita juga di peringkat kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif, antaranya aspek pentadbiran, pembelajaran serta secara formal, perniagaan dan sebagainya menerusi Indeks Syariah yang dilancarkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wahyu Asas Tamadun IV peringkat Antarabangsa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini semalam.

Yang turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Jelas beliau, perkara ini dapat dilihat amat ketara dalam aspek pendidikan yang mana usaha berkenaan disemarakkan menerusi J-QAF, selain pembinaan beberapa institusi pengajian berteraskan Islam.

“Ini semua adalah usaha berterusan oleh pihak berwajib dalam memastikan generasi muda pada hari ini celik dengan al-Quran dalam membentuk sahsiah diri mereka,” katanya.

Bercakap mengenai seminar berkenaan, sebanyak 175 kertas kerja telah dan akan dibentangkan melibatkan pelbagai topik serta isu-isu semasa berkisar kepada kehidupan umat ketika ini.

Jelas beliau, seminar itu dilihat sebagai sebahagian daripada mekanisme untuk melonjakkan al-Quran dalam memupuk kesejahteraan ummah dan tidak harus menjadi sebagai cetusan idea tanpa sebarang bentuk tindakan.

Sumber: Utusan