Hambali bersembang dengan Zulkiflee (tengah) sambil ditemani abangnya, Kassim (kanan). |
ALOR SETAR - Biarpun dihimpit kemiskinan, namun tiga beradik warga emas di Jalan Lumpur, di sini setia hidup bersama dan tidak rela berpisah.
Muhammad Kassim, 78, Zainab Kassim, 70, dan Zulkiflee Kassim, 61, masih hidup membujang dan tinggal bersama sejak kematian ibu bapa mereka lebih 20 tahun lalu.
Zulkiflee berkata, dia mempunyai lima adik beradik yang mana dua daripadanya sudah berkeluarga dan menetap di Anak Bukit serta Pulau Pinang.
"Kami tak nak susahkan mereka, jadi kami bertiga habiskan sisa hidup bersama-sama di rumah kecil ini yang disewa dengan harga RM150 sebulan sejak 10 tahun lalu," katanya.
Menurutnya, kawasan rumahnya agak berbahaya kerana sering didatangi golongan penagih dadah.
"Bumbung rumah pula bocor, usang selain berdepan masalah habuk," katanya.
Muhammad pula berkata, tambah perit apabila Zulkiflee ditahan di wad selama tiga minggu hampir dua bulan lalu selepas disahkan mengalami masalah jangkitan kuman sehingga sukar bergerak.
"Zulkiflee ada masalah paru-paru kronik manakala Zainab yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak berdepan sakit kencing manis.
"Kedua-dua mereka sering keluar masuk wad bagi mendapatkan rawatan di hospital," katanya.
Sehubungan itu, mereka berharap ada mana-mana pihak membantu mendapatkan kediaman baharu berdekatan hospital bagi memudahkan mereka mendapat rawatan.
Difahamkan, keperitan hidup tiga beradik ini mendapat perhatian Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK).
Pegawai Bahagian Korporat JZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, pihak mereka sebenarnya sudah memberi bantuan RM450 atas nama Zulkiflee.
Menurutnya, Zulkiflee menerima bantuan di bawah asnaf miskin JZNK berkenaan semenjak Mei tahun ini melalui rekod jabatan mereka.
Manakala Kassim dan Zainab pula masing-masing menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kami akan cuba ketengahkan kes kepada pihak ketiga untuk bantuan kediaman seperti rumah flat memandangkan rumah diduduki kini hanya disewa.
“Kami sedia membantu tiga beradik ini seperti memberi bantuan kecemasan jika mereka perlu keluar dari kediaman disewa kini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian