Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Bersara Selepas Berbakti 41 Tahun


KUCHING - Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung menamatkan kariernya selama 41 tahun dalam perkhidmatan awam semalam selepas beliau memulakannya sebagai kerani sekolah pada 1975 dan menamatkannya sebagai orang nombor dua dalam pasukan polis negeri.

Chai, yang mencapai usia persaraan wajib 60 tahun, mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sekerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada satu majlis yang dihadiri para pegawai kanan dari seluruh negeri, kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga.

Mengimbau kariernya dalam perkhidmatan awam, Chai berkata beliau menyertai pasukan polis pada tahun 1979 ketika berusia 24 tahun selepas dia berkhidmat sebagai kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (Dragon School).

“Saya bermula sebagai kerani di Dragon School pada 1975. Ia mungkin kelihatan seperti satu kerja yang sederhana, tetapi menjadi kerani sebenarnya banyak membantu saya sepanjang saya bekerja dalam perkhidmatan awam.

“Setahun berlalu, saya menyertai sekolah latihan Jabatan Telekom ketika itu di Batu Lintang dan menjadi juruteknik yang berpangkalan di Kuching sebelum saya menyertai pasukan polis pada November 1979,” katanya kepada pemberita.

Dalam pasukan polis, Chai berkata beliau khususnya terlibat dalam aspek teknikal sehingga beliau dilantik menjadi penolong pengarah utama komunikasi bagi pasukan polis iaitu jawatan tertinggi bagi komunikasi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selama tempoh itu, beliau terlibat dalam membangun dan mengkaji pelbagai sistem komunikasi bagi PDRM termasuk membentangkan kertas kerja pada seminar antarabangsa yang menyaksikannya dianugerahkan kertas kerja terbaik pada Seminar Future Cop di Bali pada 2005.

Terdahulu dalam ucapan perpisahannya, Chai mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak atas kerjasama mereka yang membolehkannya berkhidmat dalam pasukan polis tanpa sebarang masalah, termasuk rakan sekerja, agensi kerajaan lain serta media.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman turut memberi penghargaan kepada timbalannya dalam ucapannya dan mendoakan kejayaan beliau pada masa depan.

Pada akhir majlis, Chai secara rasmi menyerah tugas kepada Ketua Jabatan Pengurusan Polis Negeri Datuk Mohd Jasmani Yusoff, yang sekarang menjadi Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri.