Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim |
KUALA LUMPUR – Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berharap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) diberi kemenangan percuma dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFC 2015.
Baginda sebaliknya berharap perlawanan antara JDT dengan kelab bola sepak dari Kuwait, Al-Qadsia SC di Stadium Larkin di Johor menentukan pasukan yang mara ke peringkat akhir.
“Kami berharap perlawanan separuh akhir menentang Al-Qadsia SC di Larking akan dilangsungkan,” titah baginda seperti dilaporkan laman Facebook Johor Southern Tigers semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim dan Jurulatih JDT, Mario Gomez.
Laporan media tempatan Kuwait, The Times, menyebut Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) berdepan penggantungan FIFA sekiranya tidak menyelesaikan masalah berkaitan undang-undang di negara itu.
Situasi berkenaan memungkinkan KFA berdepan penggantungan aktiviti dengan penyertaan skuad kebangsaan mereka pada kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 akan terjejas.
Malah menurut laporan berkenaan, Kuwait juga akan dilarang menjadi tuan rumah Piala Negara Teluk yang dijadualkan bermula Disember nanti.
“Kelab Kuwait terutamanya Al-Qadsia SC juga akan dinafikan hak beraksi pada separuh akhir kedua Piala AFC,” menurut laporan berkenaan. -Kedahnews.com