KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak lama lagi akan menyertai syarikat utiliti Asia yang lain dalam pemasangan infrastruktur peranti meter pintar yang termaju (AMI) untuk pasaran Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif ke arah kemampanan tenaga dan keselamatan.
TNB dalam satu kenyataan, berkata lebih 8.5 juta pelanggan di Malaysia akan mempunyai akses kepada data masa sebenar mengenai penggunaan tenaga mereka dan boleh membuat pilihan bermaklumat mengenai penggunaan tenaga selepas peranti itu dipasang.
"Kami telah menyiapkan projek perintis meter pintar/AMI yang sebenar bagi memahami teknologi, peraturan dan cabaran pelanggan dan kami akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk memasang AMI pada skala yang lebih besar pada masa akan datang," kata Presiden/Ketua Eksekutif Pegawai TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd pada Persidangan CEO AESIEAP 2015 di Chiang Mai, Thailand pada Isnin.
AESIEAP atau Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat, sejak ditubuhkan pada 1975, terus bekerjasama dan bertukar kepakaran dan teknologi antara entiti dalam persatuan dalam industri pembekalan elektrik.
Meter Pintar (AMI) - Gambar Hiasan |
Azman berkata banyak negara di Asia Pasifik, terutamanya Australia, New Zealand, Jepun, Korea sedang menggunakan meter pintar secara besar-besaran untuk memanfaatkan keupayaannya dalam kawalan dan pemantauan grid.
"Pada masa yang sama, syarikat utiliti di rantau ini sedang mengkaji nilai tambah perkhidmatan seperti Portal Pelanggan Tenaga, Respon Permintaan, peningkatan masa untuk tarif penggunaan, harga puncak kritikal dan pemeteran Net Energy," katanya.
Aspek-aspek lain yang berkaitan ke atas kemampanan, seperti pelan tenaga yang boleh diperbaharui, inisiatif, program kecekapan tenaga dan pilihan tenaga jangka panjang juga dibincangkan oleh anggota negara serantau pada persidangan itu, katanya. - BERNAMA