JEDDAH – Kereta api berkelajuan tinggi Haramain akan menggantikan khidmat kebanyakan operasi bas ekspres yang membawa para jemaah haji dan umrah antara kota suci Makkah dan Madinah, menjelang Disember 2016.
Sebanyak 35 buah tren laju tersebut akan beroperasi pada akhir tahun depan untuk manfaat lebih dua juta jemaah, menurut seorang pegawai Haramain seperti dipetik oleh sebuah akhbar tempatan Arab News baru-baru ini.
Setiap kereta api akan mempunyai 15 gerabak termasuk tiga gerabak kelas pertama. Tren buatan Sepanyol itu mampu menghubungkan dua bandar raya tersebut dalam masa 90 minit merentasi landasan sejauh 450 kilometer.
Kerja-kerja pembinaan akhir bagi operasi perkhidmatan kereta api laju Haramain itu pun sudah selesai dijalankan di stesen-stesen utama termasuk di Madinah dan Bandar Ekonomi Raja Abdullah di Rabigh dekat Makkah.
Manakala kerja-kerja di stesen-stesen kereta api di tanah suci Makkah dan Jeddah pula hampir selesai, menurut pegawai tersebut. Tren Haramain itu mampu bergerak pada kelajuan maksimum mencecah 360 kilometer sejam.
Projek prasarana tersebut sepatutnya siap pada bulan lalu dan boleh digunakan sebagai pengangkutan untuk jutaan jemaah haji musim ini, namun terlewat ekoran beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Ujian khidmat kereta api Haramain juga sudah mula dijalankan di laluan-laluan tren antara Madinah dan Rabigh. Malah kerja-kerja pada sistem isyarat semboyan, prasarana elektrik dan sistem-sistem lain juga berjalan lancar.
Mula dibina sejak 2009 lalu, projek tren moden berkuasa elektrik Saudi Railways Organization (SRO) dengan landasan berkembar itu apabila beroperasi kelak mampu membawa sehingga 150,000 penumpang setiap hari.
Projek mega bernilai kira-kira 30.8 bilion riyal (RM28.6 bilion) itu menghubungkan dua kota suci utama umat Islam, Makkah dan Madinah menerusi terminal induk di Jeddah serta meliputi empat buah stesen persinggahan.
“Perjalanan antara Jeddah – Makkah akan mengambil masa hanya setengah jam, sementara perjalanan antara Jeddah – Madinah pula hanya akan mengambil masa sekitar dua jam,” kata beliau. – Agensi