Sekali imbas pasti ramai yang menyangka karangan Bahasa Inggeris yang ditulis oleh pelajar di sebuah sekolah di China ini ditaip menggunakan komputer.
Namun, karangan itu sebenarnya hasil tulisan tangan pelajar yang dilatih oleh guru mereka untuk menulis setiap huruf seperti komputer.
Beberapa karangan pelajar Sekolah Menengah Hengshui, tengah China viral di laman sosial negara itu selepas ramai pengguna kagum dengan kecantikan tulisan tangan mereka.
Gambar yang tersebar di media sosial itu menunjukkan karangan pelajar dan komen guru mengenai tulisan tangan mereka.
Setiap pelajar dilatih untuk menulis setiap huruf dengan cara yang sama dan tulisan mereka tidak ubah seperti cetakkan komputer.
Pelajar menulis karangan mengikut topik yang diberikan guru mereka seperti kebudayaan, sosial sehinggalah kepentingan menjaga tabiat makan yang sihat.
Masih banyak yang perlu dibaiki dari segi tatabahasa tetapi tulisan pelajar itu yang terlalu kemas sungguh mengagumkan.
Ada juga pengguna Internet yang tidak percaya karangan itu ditulis dengan tangan.
Walaupun jarak antara perkataan yang sempurna dan kecondongan huruf yang cantik tetapi bagi guru mereka masih banyak ruang lagi untuk mereka perbaiki.
Komen daripada guru boleh dilihat di setiap kertas seperti, `masih memerlukan lebih latihan’ dan `bagus.’
Seorang pelajar menerima komen ‘Tidak boleh lebih, tidak boleh kurang’ kerana kecenderungan untuk menulis huruf terlalu pendek.
Pelajar bernama Hu Yingchen pula diminta untuk berjumpa dengan gurunya kerana tulisan tangannya yang buruk.
Pengguna di media sosial begitu kagum dengan tulisan tangan pelajar sekolah berkenaan dan membandingkannya dengan buku teks mereka.
Ada pengguna Internet yang merasa iri hati kerana mereka tidak mempunyai guru yang tegas seperti itu.
Sekolah yang terletak di wilayah Heibei adalah antara sekolah terbaik di China dan mempunyai lebih 5,000 pelajar berusia antara 15 hingga 18 tahun.
Sekolah berasrama itu sangat mementingkan disiplin dan mengamalkan didikan ala tentera.
Selain itu, sekolah ini juga terkenal kerana berjaya membantu pelajarnya mencapai markah tertinggi dalam peperiksaan tahunan untuk kemasukan universiti.
Sumber: myMetro