Ujian Bertulis PT3 Berjalan Lancar Di Seluruh Negara Hari Ini

CALON-CALON ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dari Sekolah Menengah Syed Mohamad Al Bukhary tekun menjawab soalan peperiksaan yang bermula hari ini sehingga Khamis. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula hari ini berjalan lancar melibatkan 465,674 calon menduduki peperiksaan itu di 2,667 pusat di seluruh negara.

Ujian itu bermula dengan subjek Bahasa Melayu dan Matematik hari ini, diikuti subjek Bahasa Inggeris dan Sains pada Selasa.

Pada Khamis, subjek terlibat ialah Kemahiran Hidup Bersepadu (Kemahiran Teknikal), Kemahiran Hidup Bersepadu (Ekonomi Rumah Tangga), Kemahiran Hidup Bersepadu (Pertanian) dan Kemahiran Hidup Bersepadu (Perdagangan dan Keusahawanan); Pendidikan Islam, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Punjabi, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

Negeri Selangor mencatatkan calon teramai menduduki PT3 iaitu 82,160 calon yang mengambil peperiksaan itu di 329 pusat peperiksaan.

Di Kuala Lumpur, seramai 22,261 calon menduduki peperiksaan itu di 103 pusat peperiksaan dan di Putrajaya 1,514 calon mengambil peperiksaan itu di 12 pusat peperiksaan.

Di PAHANG, seramai 24,783 calon menduduki peperiksaan PT3 di 215 pusat peperiksaan 11 daerah di negeri itu.

Bagaimanapun, Ketua Sektor Penilaian Dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohd Razali Mustafar berkata 10 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Razak, Pekan gagal menduduki peperiksaan itu hari ini kerana disyaki keracunan makanan.

Katanya, kesemua pelajar terbabit akan menduduki kertas peperiksaan hari ini pada tarikh lain.

Di TERENGGANU, seramai 21,794 calon menduduki peperiksaan PT3 di 151 pusat peperiksaan di seluruh negeri, termasuk 15 calon berkeperluan khas (CBK).

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Abu Bakar Sahari berkata seramai 14,460 calon menduduki peperiksaan PT3 melibatkan 83 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 13,819 merupakan calon sekolah kerajaan manakala selebihnya calon sekolah swasta.

Di PERAK, seramai 40,751 calon menduduki peperiksaan itu di 269 pusat peperiksaan.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan negeri Adnan Rejab berkata ia melibatkan 40,262 calon sekolah kerajaan dan 489 calon sekolah swasta.

“Setakat ini, peperiksaan berjalan lancar dan tiada calon yang menduduki peperiksaan di hospital,” katanya.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata 33,196 pelajar menduduki PT3 di 240 pusat peperiksaan di 10 jajahan.

Ab Aziz berkata, jumlah itu termasuk 25 pelajar berkeperluan khas dan empat pelajar yang menduduki peperiksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Di LANGKAWI, seramai 1,700 orang calon menduduki peperiksaan PT3.

Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Marzuki Daud berkata mereka terdiri daripada pelajar-pelajar dari enam sekolah menengah kebangsaan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Maktab Mahmud dan Sekolah Menengah Agama Swasta Baqiatussolihat.

Di PERLIS pula seramai 4,326 calon menduduki ujian bertulis PT3 di 31 pusat peperiksaan.

Ketua Sektor Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Pendidikan Perlis, Rusli Md.Zain berkata, pusat peperiksaan berkenaan melibatkan 28 sekolah menengah kerajaan, sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan dua sekolah swasta di Beseri dan Jejawi.

Di SABAH, seramai 41,556 calon menduduki peperiksaan berkenaan di 234 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata daripada jumlah itu 39,266 adalah calon sekolah kerajaan dan 1,647 calon sekolah swasta, manakala 261 calon sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pendidikan.

“Seramai 256 calon pula dari Sekolah Menengah Agama Negeri, 121 calon persendirian dan lima calon Tunas Bakti,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan perjalanan pentaksiran berjalan lancar, Jabatan Pendidikan Negeri mengambil langkah-langkah persediaan dengan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Peperiksaan di peringkat Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Di ALOR SETAR, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam satu kenyataan hari ini berkata 37,203 pelajar menduduki peperiksaan itu di 224 pusat peperiksaan.

Angka itu meningkat 528 pelajar berbanding 36,675 pelajar tahun lepas melibatkan 221 pusat peperiksaan.

Di SARAWAK, seramai 41,312 pelajar dari 200 sekolah kerajaan dan swasta, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Pemulihan Akhlak menduduki peperiksaan itu.

Jabatan Pendididkan Negeri dalam satu kenyataan berkata jumlah itu termasuk 1,352 pelajar sekolah swasta yang menduduki peperiksaan itu di 16 pusat peperiksaan.

Di JOHOR, seramai 52,678 pelajar menduduki PT3 di 278 pusat peperiksaan, kata Pengarah Pendidikan Negeri Johor Aminudin Adam.

Di PULAU PINANG, seramai 23,927 calon menduduki peperiksaan itu di 136 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Ketua Sektor Pernilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri, Ismail Mohd Said berkata ia melibatkan 23,606 calon sekolah kerajaan termasuk 20 calon orang kurang upaya; selain 319 calon sekolah swasta. – BERNAMA