Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin |
KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin berkata adalah haram kepada seseorang yang bertindak membuatkan pelatah menjadi latah hingga mengeluarkan kata-kata tidak elok didengari atau bertindak melakukan perkara yang membahayakan.
“Di sebalik kita ketawa dengan pelbagai kelakar dilakukan oleh pelatah tersebut, kita jangan lupa perbuatan sedemikian boleh mengaibkan individu berkenaan dan agama Islam sendiri,” katanya pada akhir kuliah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam tadi.
Sementara itu, Mohd Asri yang juga penasihat Masjid Alwi, berkata masjid berkenaan bercadang mengadakan hari terbuka untuk dikunjungi orang bukan Islam bertujuan mendekatkan mereka kepada agama Islam.
Beliau berkata setiap minggu ratusan jemaah di kalangan umat Islam datang ke masjid tersebut untuk mengikuti ceramahnya tetapi berapa ramai antara jemaah itu yang memainkan peranan berdakwah kepada saudara bukan Islam terutama penduduk berhampiran dengan mengajak mereka mendekati Islam.
“Mungkin ada di kalangan penduduk berkenaan tergerak di hati masing-masing untuk datang ke masjid tetapi tidak berani berbuat demikian kerana takut tidak dibenarkan,” katanya.
Mohd Asri berkata pendekatan yang akan diperkenalkan itu untuk mengelakpengurusan masjid daripada menjadi tohmahan generasi akan datang berhubung peranan dakwah masjid kepada penduduk bukan Islam sedangkan kedudukan masjid di dalam bandar mempunyai ramai penduduk dan peniaga bukan Islam di sekelilingnya. – BERNAMA