Ayuh kita doakan Muhammad Uwais Sayuti... |
ALOR SETAR - Muhammad Uwais Sayuti, bayi sedang bergelut dengan nyawa kini difahamkan sedang menjalani prosedur pembedahan komplikasi jantung atau dikenali sebagai truncus arteriosus di Pusat Pakar Perubatan Gleneagles, Pulau Pinang.
Kira-kira dua jam lalu, Sayuti memaklumkan bahawa Uwais masih lagi berada di dalam bilik pembedahan di hospital berkenaan.
"Uwais masih dalam OT (Operation Theater) ketika ini," maklum Sayuti di laman Facebooknya sebentar tadi.
Menurut bapa Uwais, Sayuti Wan Chik, prosedur pembedahan anaknya yang membabitkan kos sebanyak RM40,000 itu dijangka memakan masa selama 3 hingga 4 jam.
Bagaimanapun, kos berkenaan telah diringankan oleh orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan dan doa untuk Uwais, sebagaimana Sayuti yang tidak putus-putus juga mengucapkan terima kasih, menghargai sumbangan dan doa orang ramai.
Justeru itu di saat ini, Kedahnews.com menyeru kepada seluruh negara supaya mendoakan Uwais agar bayi comel itu berjaya mengharungi pembedahan tersebut dengan lancar dan baik, serta dikembalikan kesihatan padanya. -Kedahnews.com