ALOR SETAR - Khabar gembira buat kita semua apabila bayi comel yang bernama Iman Furqan Uwais Sayuti selamat menjalani pembedahan pertama dan kedua di Pusat Pakar Perubatan Gleneagles, Pulau Pinang, sebentar tadi.
Dimaklumkan oleh "abi" Uwais, Sayuti Wan Chik di laman Facebooknya, bayi yang sedang diuji Allah dengan komplikasi jantung atau dikenali sebagai truncus arteriosus itu bagaimanapun perlu menjalani pembedahan ketiga dan yang terakhir.
"Terima kasih kalian semua yang telah membantu Uwais sehingga dia selamat menjalani pembedahan pertama dan kedua ini.
"Uwais masih perlukan satu lagi pembedahan yang akhir, InsyaAllah. Tetapi bukanlah dalam masa terdekat, ianya bergantung pada keadaannya," tulis Sayuti.
Bapa Uwais turut memaklumkan bahawa kos pembedahan anaknya itu dibiayai sepenuhnya dari sumbangan orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kewangan bagi memastikan Uwais sihat kembali seperti bayi lain.
"Untuk makluman semua, kos pembedahan Uwais disini 100% dibiayai oleh anda semua yang telah memberikan sumbangan kepada Uwais.
"Allahuakbar, tiada perkataan yang mampu saya lafazkan melainkan mendoakan kalian semua dirahmati Allah SWT," katanya yang tidak putus-putus mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan buat Uwais.
Uwais sehingga kini belum pernah lagi pulang ke rumah sejak dilahirkan kira-kira empat hari sebelum Hari Raya Aidiladha yang lalu akibat komplikasi jantung yang dihidapi dan terpaksa menjalani rawatan intensif di Hospital Sultanah Bahiyyah sebelum dibawa ke Pusat Pakar Perubatan Gleneagles untuk rawatan pembedahan. -Kedahnews.com