Vape Dilarang Dalam Bagasi Daftar Masuk, Rokok Boleh...

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memandang serius kejadian bateri vape atau rokok elektronik milik seorang penumpang Malindo Air terbakar secara tiba-tiba sewaktu dalam penerbangan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, DCA sedang membuat siasatan terperinci mengenai kejadian rokok elektronik yang terbakar dalam pesawat Malindo Air OD1003 pada 25 Oktober lalu.

“Berdasarkan kepada ‘Technical Instructions for the Safe Transport of Dangerous Goods by Air’ (ICAO Doc 9284) yang dikeluarkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) penumpang dan krew dilarang daripada membawa ‘batterypowered portable electronic smoking devices’ yang termasuk rokok elektronik di dalam bagasi daftar masuk.

“Ia juga melarang ‘battery-powered portable electronic smoking devices’ di cas di dalam kabin penerbangan. Bateri hendaklah dipisahkan daripada ‘battery-powered portable electronic smoking devices’ dan bateri tersebut hendaklah disimpan dalam bekas penyimpanan yang sewajarnya,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Azharuddin mengingatkan syarikat-syarikat penerbangan dalam negara mematuhi peratusan itu supaya insiden seperti yang dilaporkan semalam tidak berulang.

Media hari ini melaporkan, penumpang dan krew penerbangan Malindo Air cemas seketika selepas bateri vape atau rokok elektronik milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba.

Kejadian pada kira-kira 6.45 petang semalam itu berlaku selepas pesawat jenis Boeing 737-800 terbabit berlepas dari Kota Kinabalu ke KLIA2.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali dipetik berkata, kebakaran tersebut berlaku semasa penumpang berkenaan sedang menonton tayangan video di paparan skrin di tempat duduknya.

“Ketika leka menonton secara tiba-tiba bateri vape dalam beg yang berada atas peha lelaki itu terbakar.

“Kebakaran kecil itu menyebabkan beliau mengalami kecederaan ringan di peha dan lengan kiri, namun telah diberikan rawatan segera oleh seorang penumpang lain yang kebetulan seorang doktor,” katanya.