SEORANG wanita di China bertindak merosakkan kereta mewah BMW 740 milik suaminya selepas mendapati lelaki tersebut mempunyai perempuan simpanan.
Kejadian yang berlaku di Shenzhen itu menyaksikan wanita yang dikenali sebagai Wu memukul kenderaan terbabit berulang kali dengan penukul.
Wi dikatakan berang dan membuat keputusan untuk menghancurkan kereta yang bernilai hampir RM700 ribu itu selepas mendapati suaminya membawa perempuan lain menaikinya.
Orang ramai mula perasan dengan insiden tersebut selepas mendengar bunyi bising di tempat letak kereta bersama dengan jeritan wanita marah itu.
Wi dilaporkan memukul kereta tersebut sambil menjerit “perempuan jalang yang duduk di dalam kereta ini terlalu kotor!”.
Pengawal keselamatan cuba menenangkannya namun Wi memberi amaran agar tidak masuk campur dengan menyatakan kereta itu miliknya.
Suaminya dilaporkan mempunyai urusan luar dan hanya maklum selepas diberitahu oleh pengawal keselamatan mengenai insiden terbabit.
Kekesalan wanita tersebut telah menyebabkan kemusnahan teruk pada kereta mahal itu dengan kedua-dua belah lampu di bahagian depan dan belakang hancur, cermin pecah dan retak serta tempat membuka pintu juga rosak dan kemik di beberapa bahagian. – Agensi