Walau Dirnya Loya Muntah-Muntah, Shah Jaszle Syukur Isterinya Mengandung


Fitrahnya apabila sudah berumah tangga, setiap pasangan pastinya mengimpikan mahu menimang cahaya mata sendiri.

Begitulah yang dirasai oleh pelakon Shahrizal Jaszle yang gembira bukan kepalang apabila mengetahui isterinya Hanis Husna Mohamad Nadzree kini disahkan hamil empat bulan.

Menurut Shahrizal, berita itu diketahui bulan lalu selepas membawa isterinya yang sering mengadu sakit pinggang berjumpa doktor.

“Apabila mendapat tahu isteri hamil, sukar sekali menggambarkan perasaan saya ketika itu. Semuanya bercampur baur termasuk terharu, gembira dan teruja.

“Apa-apa pun saya bersyukur bakal bergelar bapa kerana saya memang inginkan cahaya mata dan sudah bersedia memikul tanggungjawab itu pada usia muda,” ujarnya.

Pelakon filem Azura ini bagaimanapun akui, alami alahan teruk termasuk muntah-muntah sejak isterinya berbadan dua.

“Saya pada mulanya pelik dengan diri sendiri sebab selalu berasa loya dan muntah sehingga kadang-kadang mengganggu kerja di set penggambaran.

“Bagaimanapun saya mula faham situasi itu apabila isteri disahkan hamil empat bulan tetapi peliknya dia tidak mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia sebenarnya tidak kisah perihal jantina anaknya namun berharap dapat menimang anak lelaki. -Kedahnews.com