Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail |
PETALING JAYA - Kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Pulau Pinang yang mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) semalam, bukan pendirian parti.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan tersebut hanyalah kenyataan peribadi pimpinan AMK dan Wanita PKR negeri itu.
"Itu adalah pandangan peribadi mereka bukan pendirian parti," demikian maklum balas ringkas Wan Azizah ketika diminta mengulas desakan tersebut pada sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya masih 'meletakkan' Mohd Salleh Man di kedudukannya tanpa ada yang terjejas.
"Mereka (PKR Pulau Pinang) ini 'isolated' jadi, ia hanya kenyataan mereka. Tapi ia tidak menjejaskan (hubungan PKR dengan Pas) kerana kita masih lagi meletakkan Datuk Salleh Man di tempatnya...tidak menjejaskan apa-apa.
"(Kenyataan seperti itu memburukkan keadaan?) Kitakan parti terbuka, bolehlah jika nak cakap luahkan isi hati," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media.
Semalam, Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar kerana Pas tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
"Kami mohon supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil PKR untuk jawatan YDP MAIPP itu bagi menggantikan wakil Pas apabila penggalnya tamat akhir tahun ini," katanya.
Sementara Ketua Wanita PKRnya, Nur Zarina Zakaria berkata, jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Adun.
Sumber: Sinar Harian