Devan (dua, kiri) melawat keluarga Murugan (duduk, kanan). |
ALOR SETAR - Kos pembedahan seorang remaja yang mengidap penyakit genetik, Sindrom Down dari Batu 1, Jalan Langgar, di sini, masih tidak mencukupi.
M Thilagavadi, 14, menderita masalah Sindrom Down sejak kecil sehingga menyukarkan gadis berkenaan bercakap dan bergerak.
Bapanya, S Murugan, 44, berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk menjalani pembedahan mata anak bongsunya itu.
Menurutnya, setakat ini, dia berjaya mengumpulkan kira-kira RM10,000 untuk menampung kos pembedahan itu.
“Kami menganggarkan kos kewangan sebanyak RM40,000 termasuk pengangkutan bagi membolehkan pembedahannya dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan segera.
“Bagaimanapun, kami masih belum berjaya mengumpulkan wang secukupnya, malah lebih RM30,000 masih diperlukan untuk memastikan Thilagavadi dapat dibedah,” katanya.
Murugan bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan pendapatan antara RM300 hingga RM800 sebulan bagi menyara keluarganya.
Nasib keluarga Murugan terus mendapat perhatian beberapa pihak, termasuk Pertubuhan Garuda Biker 1Malaysia, Whatshapp 1Family Bikers dan Kaigel Karat yang turun padang melawat keluarga itu.
Pengerusi Garuda Bikers 1Malaysia, S Devan, 38, berkata, pihaknya berusaha mengumpulkan wang sebanyak RM2,200 bagi membantu keluarga berkenaan.
"Wang ini merupakan hasil kutipan yang dijalankan oleh Garuda Bikers 1Malaysia sejak sebulan lalu bagi membantu keluarga Murugan," katanya.
Sumber: Sinar Harian