KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi pendakwaan kedua di Mahkamah Sesyen, dua tahun lepas.
Datuk Maziah Musa, 51, seorang ahli perniagaan didakwa memberi keterangan palsu semasa pemeriksaan balas ketika perbicaraan kes jenayah di hadapan Hakim Norsharidah Awang di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Jalan Duta, di sini, pada 11.43 pagi, 25 November 2013.
Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu dengan menyatakan dia tidak pernah berkahwin semula dengan bekas suaminya Datuk Zainulabidin Mat Akhir, 64, seorang usahawan, atau berkahwin lain dengan mana-mana individu setelah berpisah dengan lelaki itu, yang mana dia tahu kenyataan itu adalah palsu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, tetapi tertuduh yang diwakili peguam Hanif Abdul Rahman memohon mahkamah mengurangkan jaminan.
Hanif juga memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula dalam masa sebulan bagi membolehkannya mendapatkan dokumen bagi menyediakan surat representasi berhubung pertuduhan terhadap anak guamnya itu.
Majistret Saifulakmal Said membenarkan Maziah diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA