Wanita PKR Dakwa Parti Pembangkang Bersikap Kebudak-Budakan

Zuraida Kamaruddin
KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalu-alukan pendirian pucuk pimpinan parti itu mempelawa PAS menyertai Pakatan Harapan walaupun dibantah DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, parti-parti pembangkang termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) perlu bersatu bagi meneruskan agenda menumbangkang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Dalam proses membina dan menerajui Pakatan Harapan, semua parti-parti pembangkang perlu belajar daripada pengalaman lepas.

“Kita perlu bersatu dan bertegas untuk memenangi Putrajaya Oleh itu, adalah penting menjaga batas dalam berkomunikasi. Mencabar satu sama lain untuk pertandingan tiga penjuru adalah terlalu kebudak-budakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pakatan Harapan yang ditubuhkan oleh PKR, DAP dan Amanah berikutan pembubaran Pakatan Rakyat pada Jun lalu menyisihkan penyertaan PAS dalam gabungan baru tersebut.

DAP ketika menamatkan hubungan dengan PAS menegaskan Pakatan Rakyat telah berkubur dan mengherdik serta menyalahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai punca kepada pepecahan gabungan terdahulu.

Ia berikutan DAP dan Amanah berpandangan pemimpin PAS tidak boleh dipercayai kerana sering berbohong dan mengkhianati keputusan pimpinan tertinggi sewaktu mereka bersama dalam Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagaimanapun membuat pusingan U apabila menegaskan PKR komited untuk mempelawa PAS menyertai Pakatan Harapan.

PKR membuat pusingan U kerana bimbang bakal kehilangan undi penyokong PAS berikutan kurang bilangan kaum Melayu menyertai perhimpunan haram Bersih 4 bagi menumbangkan kerajaan pada Ogos lalu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil yang juga merupakan anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, secara lantang mendesak PKR supaya melupakan PAS dan meneruskan kerjasama dengan DAP dan Amanah sahaja. -Kedahnews.com