Wanita Terkejut, Tempah 1 iPhone 6s Tapi Terima 5 Set..!

Lisa Daniel 
MELBOURNE — Deman telefon pintar terbaharu iPhone 6s keluaran paling canggih firma Apple nampaknya betul-betul mencetuskan suatu fenomena sensasi di seluruh dunia di sebalik harganya yang bukan murah pun.

Di China, bakal pembeli gajet ini sanggup menderma air mani mereka sendiri bagi mendapatkan tukaran produk itu di hospital tertentu malah di banyak negara, ada sanggup tidur beratur di luar kedai iPhone sejak lewat malam.

Namun, kisah moral di Australia ini bukan sahaja lucu tetapi di sebalik kegilaan ramai remaja mahu menjadi kumpulan pertama membeli iPhone 6s, pembeli wanita ini ternyata seorang yang berhati jujur dan tidak tamak.

Media tempatan melaporkan, Lisa Daniel dari Balnarring, Semenanjung Mornington, negeri Victoria dekat sini berasa bingung kerana mendapat sehingga lima unit telefon pintar itu meskipun dia hanya memesan satu sahaja.

Model iPhone 6s itu sebenarnya baharu dijual secara rasmi di pasaran seluruh Australia pada Jumaat serentak dengan beberapa negara maju lain, manakala kebanyakan negara Asia dijangka bermula pertengahan bulan ini.


“Anehnya saya pula dapat gajet ini pada Isnin (28 September) lalu setelah saya masuk ke laman web telco saya, saya buat pesanan iPhone 6s dan barangnya tiba tepat lima hari lebih awal daripada tarikh pelancaran,” ceritanya.

Wanita ini mengulas lanjut: “Kemudian satu unit lagi tiba, dan kemudian satu lainnya. Sampailah kelmarin (Khamis, 1 Oktober), lima set iPhone 6s sudah pun ‘selamat’ dihantar melalui pos kurier ke pintu rumah saya.”

Lisa menyatakan, kelima-lima telefon pintar itu dikirim oleh syarikat perkidmatan kurier yang sama, sekali gus menyebabkan dia tampak berasa bingung dengan penghantaran secara berulang tersebut, bukan satu tapi lima!

“Pihak kurier ‘malang’ ini mungkin bosan mengirim ke rumah saya. Pekerja syarikat itu bahkan sempat bertanya apakah mereka pun boleh memiliki lima iPhone 6s, waima jika ia cuma dipinjam,” ujar Lisa secara berjenaka.

Pada satu ketika, pekerja kurier itu mengetuk pintu rumah Lisa ketika dia sedang menghubungi syarikat telekomunikasi tempat ia berlanggan talian telefon bimbitnya untuk melaporkan masalah luar biasa tersebut.

“Saya sedang tunggu maklum balas di telefon. Waktu mereka kembali berbicara kepada saya tentang masalah pengiriman kembali, saya berkata, ‘Anda tak akan percaya, tetapi set kelima baru sahaja tiba’,” katanya lagi.


Lisa akhirnya memutuskan untuk bersifat amanah dan mengembalikan keempat-empat unit tambahan itu, meskipun beberapa rakannya ‘marah’ kerana mereka sendiri masih menunggu kiriman tempahan iPhone 6s.

“Mereka semua kata, saya boleh lelong atau simpan sahaja baki empat yang terlebih itu, tetapi ibu saya pernah didik saya sejak kecil agar bersifat amanah dan tidak tamak apabila dapat rezeki bukan milik kita,” tuturnya.

Lisa mengatakan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi langganannya menyebut kemungkinan ada masalah teknikal menerusi laman web mereka menyebabkan dia boleh ‘bertuah’ mendapat sehingga lima unit iPhone 6s.

“Itu cukup lucu. Saya masih tidak yakin apakah saya akan terima lebih banyak lagi,” katanya sambil menambah: “Saya minta maaf kepada kawan saya yang sedang tunggu iPhone 6s, tetapi ada 4 unit di rumah saya.”

Bahkan Lisa berharap perbuatan baiknya akan menerima balasan baik pada masa depan dan sempat bergurau: “Mungkin mereka akan ‘balas’ saya dengan hantar balik iPhone 6s itu kepada saya.” – Agensi