Gambar Hiasan |
YAN - Seorang warga emas terkejut menjumpai seorang bayi perempuan yang baru lahir di dalam mesin basuh di rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kecil, di sini, malam Selasa.
Zainol Hamid, 71, berkata dia terdengar seperti bayi menangis dari arah bilik air di bahagian dapur rumahnya semasa menonton televisyen kira-kira pukul 10.30 malam.
"Pada awalnya, saya ingatkan bunyi hantu kerana tiada bayi dalam rumah.
"Semua cucu saya sudah besar. Saya beranikan diri mencari bunyi tersebut dan terkejut apabila menemui bayi tersebut kemudian," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Zainol berkata bayi itu tidak berpakaian dan masih bertali pusat serta dalam keadaan sihat semasa ditemui.
Katanya bayi seberat dua kilogram lebih itu menangis mungkin kerana kesejukan.
"Saya panggil anak saudara yang tinggal berhampiran untuk mengeluarkan bayi itu kerana takut. Anak saudara saya kemudian membuat laporan polis dan bayi itu dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut," kata Zainol.
Katanya dia percaya orang yang membuang bayi itu memasuki rumahnya melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Muhamad Halim Yatim mengesahkan menerima laporan penemuan bayi itu pada pukul 10.44 malam yang sama.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke rumah melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
Sumber: mStar