DIAM tak diam, hari ini genap dua bulan sudah rapper popular, Waris bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Izzati Amirah.
Bercerita mengenai kehidupannya kini, rapper yang terkenal dengan lagu Gadis Jolobu gandingannya bersama Datuk Hattan ini mengakui hidupnya kini lebih terurus disamping isteri.
Selain itu, dalam meningkat pendapatan keluarga yang baru dibinanya itu, Waris mendedahkan dia kini telah berjinak-jinak menjadi usahawan dengan membuka sebuah kedai vape yang diberi nama ‘Most Wanted Vape Shop’ di Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Waris, dia mengambil peluang meniaga vape kerana kini ia sedang menjadi trend, dan pada masa yang sama mahu mahu mendidik masyarakat tentang kebaikan vape yang jauh lebih sihat daripada rokok.
“Saya membuka bisnes ini pun sebab pengalaman diri saya sendiri yang sudah mampu untuk meninggalkan rokok. Memang pada mulanya, agak kekok dan tidak biasa dengan vape tetapi lama-kelamaan, saya semakin selesa dan tidak lagi menghisap rokok,” ujarnya kepada The Rakyat Post.
Sementara itu, Waris dan isterinya turut mengakui tidak sabar untuk menjadi bapa dan ibu serta berhasrat untuk memiliki anak secepat yang mungkin dengan izin Allah SWT.