A’ala menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan Hazizah yang dibuat 20 September lalu. |
PADANG SERAI - “Zah baliklah, abang tunggu kepulangan Zah," rayu A’ala Amzah, 70, apabila isterinya, Hazizah Abdullah, 46, tidak pulang ke rumah mereka di Taman Damai, di sini, sejak 10 Ogos lalu.
A'ala berkata, Hazizah yang baru dikahwininya sejak enam bulan lalu disedari hilang selepas tidak pulang dari tempatnya bekerja di Prai.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat Hazizah sehari sebelum isterinya itu keluar bekerja kira-kira jam 6.30 pagi.
Bagaimanapun, katanya, pada hari itu isterinya tidak mengejutkannya dan bersalaman dengannya seperti kebiasaan yang dilakukan sebelum ke tempat kerja.
“Setiap hari kebiasaannya kalau nak pergi kerja mesti dia akan salam saya dan beritahu nak pergi kerja. Tapi hari itu saya tidur di ruang tamu dan tak sedar dia keluar.
“Tapi saya tak syak apa-apa, saya fikir mungkin dia bergegas nak pergi tempat kerja. Namun, tiga hari saya tunggu... dia tak balik-balik, telefon pun tidak berjawab
“Saya tengok baju, kasut, tuala, alat solek dia ada... kalau dia rancang nak lari mesti dia bawa semua,” katanya.
Katanya, isteri keduanya itu tinggal sebumbung bersama isteri pertama, anak dan menantunya.
"Hubungan kami sangat baik... nak kata kami bergaduh tak ada pula, semuanya elok saja. Dia pun bersembang elok saja dengan isteri pertama, mereka boleh bergelak sama.
"Itulah yang saya pelik dan bimbang bila dia hilang... takut dia diapa-apakan orang jahat. Lagipun, kerja yang dibuat menyebabkan dia sering bawa wang dalam jumlah agak banyak," katanya.
A'ala berkata, orang ramai yang mengenali Hazizah dan mengetahui lokasinya diminta dapat memaklumkan mengenainya di balai polis berhampiran.
“Sudah letih saya pusing cari di rumah kawan-kawan dia, tapi hampa... kawan-kawan dia cakap mereka dah lama tak jumpa dan dia tak pergi kerja.
“Saya juga ada telefon keluarga dia di kampung di Parit Buntar, Perak tapi mereka juga kata tak nampak Hazizah.
“Zah kata Zah sayang abang... nak jaga abang sehingga akhir hayat. Kalau abang ada buat silap, baliklah berbincang," katanya.
Sumber: Sinar Harian