Zaini Mahu Mukhriz Hentikan Segera Pembalakan Di Wang Perah

Adun  Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar 
KUBANG PASU - Kerajaan negeri perlu segera menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan hutan Bukit Perangin, Wang Perah membabitkan kawasan seluas 1,619.2 hektar bagi mengelak risiko kampung-kampung sekitar dilanda bencana banjir.

Adun  Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, kawasan hutan itu sebelum ini berstatus Hutan Simpan Kekal sebelum dilucut bagi membolehkan projek pembangunan dilaksanakan.

"Kita mahu status hutan itu dikembalikan kepada Hutan Simpan Kekal. Apabila dijadikan kawasan pertanian dan aktiviti pembalakan berlaku, ia akan menggugat keadaan kampung kerana ini adalah kawasan tadahan air yang menjadi punca kepada sumber air," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pada ketika ini, katanya, sebanyak 9 kompartmen di hutan itu terlibat dengan aktiviti pembalakan bermula Feb lepas, daripada kompartmen 15 hingga ke 23 di Mukim Kubang Pasu dan Mukim Binjai.

Menurut Ahmad Zaini, sekiranya aktiviti pembalakan diteruskan juga, penduduk beberapa kampung berhampiran hutan berkenaan berisiko berhadapan dengan  masalah banjir besar disebabkan ekosistem semula jadi terjejas.

Kawasan hutan tersebut, kata beliau, dianugerahkan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI) untuk menjalankan projek pembangunan getah berfasa.     

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri mengenal pasti enam lokasi melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar bagi menggantikan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Peranginan Wang Perah. 

Katanya, enam kawasan itu membabitkan kawasan Bukit Saiyong, Genting Iboi, Ulu Muda Tambahan, Kemunting, Tiang Layar, dan kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat.   

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Wang Perah Abu Bakar Salleh pula berkata, aktiviti pembalakan menyebabkan penduduk sukar  mendapat bekalan air bersih, selain banjir kilat setiap kali hujan lebat. 

"Kawasan tadahan telah berkurangan disebabkan pengambilan balak, semua kayu mereka ambil tak kira saiz, tebing-tebing sungai juga runtuh, " katanya.    

Sementara itu, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, kerajaan negeri harus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan manifesto Barisan Nasional Kedah untuk tidak melakukan pembalakan ditepati.    

"Kalau ia tetap dilaksanakan saya khuatir pada pilihan raya umum akan datang rakyat akan menghukum kita," katanya. - Bernama