100 Tahun SK Jabi Pokok Sena Yang Penuh Dengan Nostalgia


POKOK SENA - Cahaya yang menjadi mercu logo Sekolah Kebangsaan Jabi melambangkan ilmu itu sebagai cahaya yang sangat berharga dalam menerangi masa depan penduduk di sekitar kawasan itu.

Kini sudah 100 tahun, Sk Jabi berdiri megah dan mengibarkan benderanya sejak 1915 lagi.

Sekolah yang berasal dari pondok ini telah banyak berjasa kepada penduduk sekitarnya hingga mampu melahirkan ramai cendekiawan, korporat dan golongan profesional di daerah berkenaan.

Pengerusi Alumni SK Jabi, Ruslina Ahmad berkata, sejarah SK Jabi bermula pada 1909 dengan pembinaannya sebuah bangunan yang beratapkan rumbia, berdinding buluh dan berlantaikan buluh.

Menurutnya, bilangan murid pada masa itu hanya 20 pelajar sahaja kemudian bertambah hinggalah pada 1915 sekolah itu diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Mula-mula sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Jabi kemudiannya ditukar kepada Sekolah Umum Jabi.

"Selepas kemerdekaan nama sekolah itu sekali lagi ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Jabi dan nama itu kekal sehinggalah ke hari ini," katanya.

Ruslina berkata, nama sekolah itu diambil sempena nama pokok jabi yang tumbuh berkeliaran di kawasan itu dahulu.

“Pokok jabi ini merupakan spesies balak yang tumbuh tinggi berbanding dengan tumbuhan lain dan keistimewaan itulah menyebabkan sekolah itu dinamakan tumbuhan itu.

"Bagaimanapun pada hari ini pokok itu sudah pun pupus kerana proses pembangunan di sekitar kawasan itu,” katanya.


Menurut Ruslina, pada 1918 sebuah bangunan dua tingkat telah dibina di sekolah itu bagi menempatkan bilangan pelajar yang semakin bertambah.

"Bangunan yang dibina hampir 100 tahun itu masih lagi kekal sehingga hari ini dan sekarang telah dijadikan sebagai Pusat Kegiatan Guru di Pokok Sena.

"Bangunan itu mempunyai nilai sentimental kepada semua pelajar di sekolah itu terutamanya sebelum tahun  2000 kerana bentuknya yang klasik dan sukar dicari di Kedah sehingga  sekarang. Oleh itu pihaknya berharap bangunan itu akan terus dikekalkan sebagai nostalgia kepada pelajar di situ," katanya.

Terima pelajar OKU

Katanya, pada tahun 1980 SK Jabi mencatat sekali lagi sejarah apabila menerima pelajar cacat penglihatan di bawah pendidikan khas oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

"Semenjak itu SK Jabi telah menerima pelajar cacat penglihatan dari seluruh Kedah untuk belajar di sekolah itu. Ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan turut mementingkan golongan kurang upaya ini supaya mereka juga diberi hak yang sama sebagai pelajar.

“Ini terbukti ramai pelajar yang mengalami cacat penglihatan berjaya meneruskan pengajian mereka hingga ke universiti dan tidak lagi terbiar seperti sebelum ini. Malah, baru-baru ini pun pelajarnya telah berjaya menjadi johan tilawah peringkat kebangsaan dan ini telah mengharumkan nama SK Jabi,” katanya.

Selepas 100 tahun sekolah ini dibina ia berjaya melahirkan ramai golongan profesional, cendekiawan, korporat dan pemimpin di Kedah ini.

Di antara pemimpin yang paling disegani yang dilahirkan oleh SK Jabi ini ialah  Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Alumni senior

Bagi alumni senior SK Jabi, Leha Ismail, 82, dari Kampung Jabi berkata, dia sangat gembira dengan usaha alumni sekolah itu yang meraikan ulang tahun ke-100 pada tahun ini.

Katanya, dia sungguh teruja dengan kemajuan yang dicapai pelajar sekolah itu hingga sekolah itu mulai dikenali di seluruh Kedah.

“Dahulunya sekolah ini dikategorikan sebagai pusat pendidikan luar bandar dan menghadapi pelbagai masalah kemudahan asas. Oleh itu tidak hairanlah pada masa itu ramai kanak-kanak di kawasan itu terpinggir dengan pelajaran.

"Bagaimanapun kewujudan sekolah itu di Jabi diibaratkan seperti lampu yang menerangi pada waktu malam apabila memberi pendidikan kepada kanak-kanak di sini. Walaupun atok hanya mampu belajar sehingga darjah tiga tetapi mampu menulis dan membaca termasuk dalam bahasa jawi serta rumi," katanya.


Menurut Leha, walaupun beliau dan rakan-rakannya hanya mampu belajar hingga Darjah Tiga tetapi ia menjadi asas untuk melahirkan cendekiawan di daerah itu.

"Alhamdulillah kini atok mempunyai cucu yang turut menjadi tenaga pengajar di sekolah itu dan ini merupakan hasil kejayaan yang dicipta pada masa dahulu.

"Kemiskinan di luar bandar menyebabkan atok tidak dapat meneruskan pengajian tetapi cukuplah anak cucu berjaya seperti yang diharapkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian